KUALA TERENGGANU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar 8.2 tan metrik makanan dan keperluan asas bagi keperluan penduduk Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus sebagai persiapan menghadapi cuaca buruk sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan berkata, bekalan makanan tersebut mencukupi untuk keperluan 627 keluarga di pulau tersebut sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) berakhir bulan Mac tahun hadapan.
“Penghantaran bekalan makanan keperluan asas tersebut bagi membantu penduduk dua pulau terlibat yang berisiko putus bekalan sepanjang tempoh MTL ini.
“Laut bergelora dan cuaca buruk menyukarkan mereka ke daratan,” katanya ketika memantau proses penghantaran bekalan tersebut di Jeti Shahbandar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE















