ALOR SETAR – Ubur-ubur kotak yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak warga Russia di Pantai Chenang, Langkawi, Sabtu lalu adalah spesies berbahaya kerana mengandungi toksin yang menyerang saraf dan jantung, menyebabkan kesakitan melampau, kegagalan jantung dan kematian dalam beberapa minit.
Pengarah Perikanan Kedah, Sukri Deris berkata, pihaknya mengesan spesies itu di perairan Langkawi sejak beberapa hari lalu dalam kuantiti sederhana.
“Kehadiran ubur-ubur kotak ini dikesan pada kadar yang sederhana tahun ini, bermaksud ia tidak begitu banyak sehingga melumpuhkan aktiviti rekreasi secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, kehadirannya cukup untuk menimbulkan ancaman terhadap aktiviti di perairan, sama ada rekreasi mahupun perikanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, kehadiran spesies ini dalam kadar sederhana menjadikannya agak sukar dikesan dan hanya disedari selepas kejadian baru-baru ini di Pantai Chenang.
Sukri berkata, pihaknya akan terus memantau spesies tersebut dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Daerah bagi tindakan yang diperlukan.
“Hebahan awam akan diteruskan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya spesies ini. Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berada di pantai dan memakai pakaian yang menutup anggota badan sepenuhnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE















