PONTIAN – Kedatangan Ramadan tahun ini membawa sinar paling bermakna buat lima sekeluarga apabila impian memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan selepas 23 tahun menumpang di kediaman kakak ipar.
Lebih manis, lima beranak itu bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali di rumah baharu yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi kawasan Parlimen Pontian.
Menurut Anita Ali, 47, sepanjang lebih dua dekad menumpang, dia tidak pernah berhenti berharap agar suatu hari nanti keluarganya dapat berteduh di kediaman sendiri.
“Alhamdulillah, selepas 23 tahun menumpang di rumah kakak ipar, akhirnya pada tahun ini kami dapat berpuasa dan beraya di rumah sendiri. Syukur sangat-sangat,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Parit Lapis Sayang, Benut, di sini semalam.
Rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air bernilai RM79,000 itu dibina di atas tanah milik ibunya dengan kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh GiatMara bermula 5 Ogos tahun lalu sebelum siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Majlis penyerahan kunci rumah tersebut telah disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Berkongsi kisah kehidupan mereka, Anita berkata, suaminya, Shazarulnizam Salim, 50, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mengambil upah kerja-kerja pembinaan rumah serta pemasangan internet bagi menyara keluarga.
“Saya pula membantu kakak ipar melakukan kerja seperti memotong nangka, pisang, serai dan daun pisang sebelum dihantar ke Singapura.
“Upah sekitar RM300 sebulan, itu pun bergantung kepada tempahan,” ujarnya.
Menurutnya, mereka mempunyai tiga anak perempuan berusia 14, 19 dan 22 tahun dan anak sulung kini melanjutkan pengajian tahun kedua di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Katanya, walaupun terpaksa mengeluarkan simpanan untuk membeli kelengkapan asas seperti peti sejuk, mesin basuh, dapur dan katil, dia tidak pernah rasa terbeban kerana semua itu demi keselesaan keluarga.
“Memang banyak juga kos bila pindah rumah baharu, tapi kami beli mana yang penting dulu,” katanya.
Bagi Anita, Aidilfitri tahun ini bukan sekadar sambutan biasa, sebaliknya simbol permulaan baharu buat keluarganya selepas sekian lama hidup menumpang dan serba kekurangan.















