TEMOH Valley Resort, Perak mempunyai beberapa buah tasik yang dahulunya terkenal dengan sebarau bersaiz kasar. Walaupun sebarau menjadi target utama pertandingan yang dinamakan Kayak Fishing Hampala Challenge 2026 ini, namun masih ada kategori untuk ikan-ikan lain.
Seramai 30 orang peserta mengambil bahagian. Mereka menurunkan kayak masing-masing sekitar pukul 7.30 pagi. Acara diteruskan dengan taklimat keselamatan.
Pada awal pagi kelihatan peserta memancing di sekitar tasik utama. Apabila matahari mulai meninggi, ikan menjadi agak culas, membuatkan sebahagian peserta mula menuju ke tasik bersebelahan iaitu berhampiran tapak glamping.
Di sini terdapat satu alur sungai dan kelihatan kelibat banyak anak ikan. Usaha mereka nampaknya tidak sia-sia apabila berjaya menaikkan beberapa ekor sebarau dan baung kuning.
Pertandingan ditamatkan sekitar pukul 2 petang dengan kebanyakan peserta hanya berjaya menaikkan tangkapan sebarau bersaiz sederhana.

Hairan, tasik ini pernah didiami sebarau yang bersaiz mega tetapi tiada seorang pun yang berjaya mendapatkannya. Mungkin disebabkan perubahan cuaca atau faktor
air yang sedikit keruh membuatkan ikan-ikan kurang aktif.
Walau apa pun peserta tetap menunjukkan kesungguhan memancing sehingga ke akhir pertandingan adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Pihak SKFC juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Temoh Valley Resort di atas kesudian membuka lokasi memancing yang sangat kondusif.
Juara ‘Kategori Hampala (sebarau) ialah Abdullah Afifi dengan sebarau saiz 32.5 sentimeter (sm), manakala untuk ‘Kategori Ikan Selain Sebarau’ dimenangi oleh Kamarulzaman Ismail dengan ikan baung saiz 37.5sm.














