fbpx
HARUAN saiz kasar yang dipancing pada waktu pagi menggunakan SP yang diseret di dasar (kiri). Tali air yang menerima tekanan tinggi daripada pemancing, namun masih ada peluang untuk mendapatkan haruan saiz kasar jika mengubah gaya persembahan gewang (kanan).

‘Gali’ haruan di tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sekitar Pekan Bandar Diraja Pahang ini ada banyak parit dan tali air. Ada yang dibina manusia untuk sawah padi atau penebat banjir dan ada yang wujud secara semula jadi.

Ada satu tali air yang selalu saya pergi untuk mengilat ikan haruan. Ia berhubung dengan satu kawasan berpaya, jika musim banjir air akan melimpah dan menjadikan tali air tersebut bercabang empat. Jika air surut atau musim kemarau, tali air yang sama ini akan tinggal dua sahaja aliran airnya.

Selain daripada ikan haruan, terdapat juga ikan-ikan lain menghuni tali air ini seperti, bujuk, puyu, sepat dan limbat.

Ia menjadi tumpuan ramai pe­­ngilat yang mencari haruan kerana ia berdekatan dengan jalan besar dan akses ke gigi air dengan kenderaan juga mudah terutamanya dengan motosikal.

Sebab itulah ikan-ikan di tali air ini sangat culas dan bagi mendapatkan saiz haruan yang kasar bukannya mudah.

Tali air popular

Ikan haruan biasanya akan berada rapat di permukaan air kerana keperluannya untuk menghirup oksigen.

Banyak kali penulis jumpa telur burung yang tidak dikenali di sepanjang tali air ini.

Selain itu, makanannya yang berupa serangga, anak-anak ikan atau katak juga akan berada di perimeter permukaan air ini, jadi ia memudahkan pekerjaannya.

Walaupun ia gemar berada berhampiran permukaan air, ikan haruan tetap memerlukan struktur untuk ia berlindung atau melakukan penyamaran (camoflouge).

Jadi, ia perlukan kawasan bersamai atau berumpair untuk ia menyelinap dan berlindung.

Pengilat biasanya akan turun menggunakan gewang-gewang permukaan seperti soft frog atau katak kayu untuk menggoda ikan-ikan haruan ini kerana ia lebih cepat menerkam kerana dimainkan berhampiran kawasan ia menyorok itu.

Lama-kelamaan ikan-ikan haruan ini belajar sesuatu bahawa gewang-gewang permukaan tersebut adalah ‘wayang’ semata-mata.

Mungkin ia belajar selepas ia dilepaskan semula atau terlepas akibat terkaman yang tersipi (miss call) atau terlepas semasa pertarungan.

Faktor berikutnya ialah lampau tuai apabila setiap tangkapan dibawa balik dan jika hari-hari perkara yang sama berlaku, maka populasi ikan haruan di dalam tali air ini semakin berkurangan dan memerlukan musim banjir yang akan datang untuk stok baharu pula masuk dari kawasan berpaya.

Masalahnya, betulkah haruan di tali air ini betul-betul culas atau pupus?

Jadi, saya sentiasa mengubah jenis dan permainan gewang untuk melihat masih adakah haruan saiz bagak di dalamnya.

Ubah gewang

Tali air ini agak dalam dengan kedalaman lebih kurang antara lima hingga tujuh kaki di sesetengah tempat.

Menurut geng-geng mengilat yang sentiasa turun ke sini, haruan saiz kecil sahaja yang selalu terpedaya dengan gewang-gewang top water yang mereka cuba. Saya juga mencuba gewang-gewang yang sama dan hasilnya juga serupa.

Lantas saya memikirkan cara dan gewang yang berlainan, memandangkan tali air ini juga dalam. Mungkin ada haruan saiz kasar yang ‘menaun’ di dasar dan biasanya haruan seperti ini jarang naik menghirup udara kerana tali air ini juga beroksigen tinggi kerana ia berarus.

Jadi, saya memilih untuk menggunakan gewang soft plastic (SP) yang besar iaitu lapan sentimeter (sm) bersama jighead berat antara 3.5 hingga 5 gram (g).

Bagi mengelakkan SP mudah tersangkut struktur dasar, saya mempersembahkannya secara kalis sangkut (weedless) dengan menyorok poin mata kail jighead ke dalam badan SP. Kemudian, ia akan dilontar ke tengah-tengah tali air sehingga ia tenggelam hingga ke dasar.

Keladak yang ‘hangat’

Selepas itu saya akan karau SP secara amat perlahan atau ramai pengilat menggelarkannya ‘seret dasar’. Apabila ‘menggayakan’ SP secara sentimental seperti ini ia akan menerbitkan keladak ketika ia melalui kawasan berlumpur.

Saya merasakan haruan saiz kasar ini biasanya bersifat pemalas, lebih-lebih lagi ketika siang hari, ia lebih aktif mencari makanan waktu malam (nocturnal) ketika persekitarannya lebih senyap tiada kelibat manusia.

Apabila haruan itu sedar ada pergerakan berdasarkan keladak yang timbul berhampiran tempat ia bersemayam, maka ia akan merapat untuk menyiasat. Oleh kerana SP dimainkan secara amat perlahan ia sempat menyambar SP tersebut.

Saya merasakan teori ini ada kebenarannya apabila banyak haruan saiz kasar berjaya saya dan rakan-rakan lain naikkan di tali air ini.

Paling besar ikan haruan yang dapat saya naikkan dari tali air ini ialah berat 1.8kg dan ada rakan saya yang dapat lebih besar daripada itu menggunakan jenis gewang dan teknik persembahan yang sama.

Bagi saya itu merupakan saiz haruan yang baik sekali, terutamanya didapatkan dari kawasan yang tekanan memancingnya tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN