RAWANG – Kejadian lemas di Tasik Biru, Kundang, di sini berlaku hampir setiap tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat berikutan faktor keselamatan yang didakwa masih belum dipertingkatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Mohd. Fathul Muin Mohd. Hafid berkata, pada 2018 seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lemas, diikuti dengan kejadian sama pada 2023 melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun.
“Pada 2024 seorang kanak-kanak 12 tahun ditemui lemas. Ketika itu anggota penyelam bomba mengalami cabaran kerana kedalaman tasik itu kira-kira tiga meter.
“Kanak-kanak tersebut hilang pada waktu asar, selepas isyak baru mayatnya ditemui. Kebanyakan kejadian lemas berlaku kerana kanak-kanak atau remaja sering bermain di bahagian gigi air tasik yang tidak berpagar,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Katanya, kawasan gigi air tasik itu cetek, namun ia menjadi dalam apabila mangsa mula hanyut pada kejauhan lima meter dari tebing.
Semalam Kosmo! melaporkan, tujuh pemuda merisikokan nyawa mereka apabila sebuah kereta jenis Proton X50 yang dinaiki seorang wanita berusia lingkungan 40-an bersama dua anak perempuannya terjunam ke dalam tasik itu.
Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd. Fathul berkata, jarak dari balai bomba tempat dia bertugas ke Tasik Biru sejauh 25 kilometer menyebabkan masa diambil untuk sampai sedikit lewat.
“Masa kami tiba selepas mangsa diselamatkan pun, kereta memang dah tenggelam sepenuhnya ke dasar tasik.
“Tasik itu sebenarnya selamat sahaja sebab kami anggota bomba biasa buat latihan selaman di situ, setakat ini tiada kejadian diingini berlaku, cumanya pihak berkuasa tempatan (PBT) memang kena pasar pagar di gigi air tasik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Setia Kuang dan Ketua Kampung Setia, Jamaludin Wahab berkata, Tasik Biru dalam kalangan masyarakat di situ terkenal dengan kisah yang dikatakan mistik.
Katanya, sepanjang tinggal di kawasan itu lebih 50 tahun, beliau tidak pernah terlihat kelibat atau mengalami sendiri perkara mistik berkaitan tasik tersebut.
“Dari dulu lagi memang orang-orang sini dimomokkan tasik itu ‘keras’. Tapi salah satu sebabnya tak nak kanak-kanak bermain di bekas tapak lombong tu.
“Tasik tu sendiri memang ada sejarah misteri terdahulu. Ada juga khabar angin mistik ternampak lembaga, namun saya sendiri tidak pernah alaminya.
“Sebelum ini pihak PBT ada pasang pagar, namun tidak diurus selia tanpa sebarang pemantauan, sudahnya terbiar. Saya berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu,” katanya.















