SEBERANG PERAI – Dua sahabat maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan buah di Kilometer 141.5 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru, malam tadi.
Mangsa iaitu pemandu, Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31 dan penumpang, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit pada bahagian hadapan kenderaan jenis Toyota Estima.
Difahamkan, kedua-dua mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Juru selepas keluar makan bersama.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 11.22 malam tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai yang diketuai Penguasa Bomba Kanan l Nor Azli Md Hassan.
“Kemalangan jalan raya berlaku melibatkan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Estima dan sebuah lori membawa muatan buah-buahan.
“Terdapat dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta telah tersepit manakala seorang pemandu lori berusia 37 tahun ditemui selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan telah berjaya dikeluarkan pada pukul 11.56 malam. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini, hari ini.
Beritahu beliau lagi, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.40 malam tadi.-KOSMO! ONLINE















