International Game Fish Association (IGFA) merupakan satu-satunya organisasi sukan memancing yang diiktiraf menjaga data segala spesies ikan di dunia.
Pelbagai rekod terdapat di IGFA termasuk saiz spesies ikan terbesar, tangkapan spesies ikan terbesar berdasarkan kelas tali, ikan terbesar kategori pemancing kanak-kanak dan sebagainya.
Data-data rekod ini penting untuk membina satu dokumentasi yang lengkap berkenaan spesies ikan di seluruh dunia.
Atas inisiatif IGFA inilah pemancing-pemancing kenal apa spesies ikan sukan yang terdapat di satu-satu negara.
Sejak dahulu lagi, wakil IGFA di Malaysia telah bekerja keras mempopularkan spesies ikan sukan yang ada di negara kita dengan mendaftar tangkapan ikan terbesar untuk direkodkan oleh pihak IGFA.
Antara spesies ikan yang pernah masuk rekod IGFA adalah haruan, sebarau, bujuk, toman dan banyak lagi. Ada rekod yang masih berkekalan dan ada sudah dipecahkan dari masa ke masa.
Rekod All-Tackle Toman
Saya sendiri merupakan pemegang rekod IGFA All-Tackle dan Line Class 30lb untuk ikan toman yang saya rangkul pada tahun 2023.

Terinspirasi daripada rekod tersebut, saya dan rakan paling karib yang selalu mengikuti trip memancing bersama iaitu Muhammad Suhaimi Muhayat (Mie) telah berusaha gigih untuk mendapatkan rekod IGFA seterusnya.
Tiga tahun kami berusaha di pelbagai lokasi dari lombong, tasik, empangan dan sungai.
Akhirnya, ia terlunas di satu lombong pasir tinggal yang terletak di Bukit Beruntung, Selangor.
Lokasi bersebelahan dengan Sungai Selangor ini merupakan lombong yang sudah pecah dan ada aliran air masuk dari sungai.
Jadi keadaan air di dalam lombong ini sangat bergantung kepada keadaan air di sungai.
Jika paras air sungai naik, maka paras air di dalam lombong ini juga akan naik. Begitu juga jika paras air turun ataupun keruh.
Kami berdua selalu berkunjung ke sini, namun sekejap sahaja kerana semuanya bergantung kepada kehadiran toman di dalamnya.
Saya menjangkakan toman tidak menjadikan lombong pecah ini sebagai habitatnya.
Sebaliknya ia akan keluar masuk mengikut kumpulan ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya pada satu-satu masa.
Sebab itulah adakalanya kumpulan anak-anak toman yang dijaga induknya bukan selalu kelihatan di sini. Adakalanya kosong dan yang menimbul hanyalah toman-toman bujang.
Keluasan lombong pecah ini lebih kurang separuh saiz padang bola sepak, di sekeliling tebingnya berupa belukar banat dan kawasan paling dalam adalah lebih kurang 10 kaki sahaja.
Dasarnya dipenuhi reba yang berupa pokok-pokok belukar tumbang terutamanya berhampiran tebing, bahagian tengahnya kosong kerana ia merupakan kawasan bekas lombong pasir.
Saat bahagia
Pagi itu, kami hanya berdua ke lombong ini menggunakan motosikal. Kami juga tidak berapa gemar beramai-ramai dalam setiap trip kerana lebih memfokuskan misi memancing.

Suasana redup seolah-olah hendak hujan dan kami berpecah. Saya menuju ke tebing seberang, manakala Mie pula memilih satu kawasan yang di hadapannya ada tanjung kecil menganjur dari tebing.
Lokasi bertanjung itu merupakan tempat paling dalam di lombong ini.
Mie menggunakan soft plastic Ozmy Padde Pop berwarna hitam yang disematkan ke mata kail saiz 7/0.
Mata kail diikat dengan tali Kevlar berkekuatan 80lb sebagai insurans daripada terputus akibat gigi toman yang tajam.
Perambut yang dia gunakan ialah Proga FC 40lb dengan mainline Proga Savage X8 berkekuatan 40lb yang diisi ke dalam kekili menegak Shimano Curado M 201HG. Ia digandingkan dengan joran prototaip NinjX Black Vengence 10-20lb, panjang 6’ 6”.
Awalnya, memang sudah kelihatan induk toman membawa anak-anak kecil.
Lontaran pertama Mie terus bersahut, malangnya mata kail tidak menikam kemas mulut toman itu.
Tidak berputus asa, dia terus melontarkan gewangnya berkali-kali ke arah kumpulan anak-anak toman tersebut kerana ia masih lagi berlegar-legar di hujung tanjung itu.
Gewang dibaham
Mungkin kerana induknya amat marah akibat diganggu berterusan oleh Mie, akhirnya gewangnya betul-betul disergap. Seperti biasa, ikan toman akan terus membenam padu sebaik terasa mata kail sudah menusuk mulutnya.
Saat menahan pecutan pertama toman itu, Mie sudah dapat mengagak saiznya bukan ‘biasa-biasa’. Nasib baik dia betul-betul sudah bersedia dengan peralatan yang kuat. Ikan dipam dengan kekuatan drag yang maksimum.
Ia berjaya dihela hingga ke tepi tebing, namun ikan itu juga tidak mahu mengalah dengan membuat beberapa benaman di saat-saat terakhir ke arah samai tebal berhampiran.
Mie terpaksa bertahan dan dengan kudrat yang masih tersisa, induk toman akhirnya berjaya dicangkuk dengan lip grip untuk didaratkan.
Apabila saya sampai di tempat kejadian dan sebaik melihat saiz ikan toman itu, terus terdetik di dalam hati, ini merupakan ikan toman yang besar dan panjang.
Kami sememangnya sudah bersedia dengan alat timbangan Boga Grip dan pita pengukur khas daripada pihak IGFA. Ikan ditimbang, beratnya 28lb dan selepas itu, ia diukur dan panjangnya adalah 106 sentimeter (sm).
Mengetahui potensi untuk mencatat rekod, segala peraturan yang wajib dilakukan kami selesaikan dan ikan dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Permohonan dihantar kepada Shamin Shaimah wakil IGFA Malaysia. Beberapa bulan selepas itu, rasmi rekod itu diluluskan sebagai ikan toman terpanjang dalam kategori IGFA All-Tackle Length.














