PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia – Amerika Syarikat (ART) tidak mengekang, mengikat, atau memaksa Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat.
Beliau berkata, tuduhan yang mendakwa perjanjian itu mengikat atau menggadaikan negara juga tidak berasas sama sekali.
Katanya, negara masih kekal bebas menentukan hala tuju perdagangan dan hubungan luar, termasuk dalam sektor nadir bumi, semikonduktor, mata wang dan dasar strategik lain.
“Tidak benar dakwaan kononnya perdagangan nadir bumi kita terbatas kepada Amerika Syarikat. Kita baru saja memeterai kerjasama super magnet dengan Korea, manakala PETRONAS–Khazanah sedang memuktamadkan usaha sama nadir bumi dengan China.
“Jika benar kita “terikat”, semua ini pastinya terhenti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar berkata, dalam semikonduktor, Malaysia kekal menentukan dasar sendiri termasuk pelaburan Jerman dan China di mana negara bebas mengeksport cip ke China tanpa sebarang sekatan.
“Jika Malaysia benar-benar “menggadai” kedaulatan, keputusan ini mustahil berlaku. Isu mata wang juga jelas apabila ringgit–yuan, ringgit–baht, ringgit–rupiah dan lain-lain tetap diteruskan tanpa halangan. Tidak ada satu pun dasar perdagangan kita yang terhenti akibat ART,” katanya.
Katanya, meskipun Amerika Syarikat tidak bersetuju dan mengambil pendirian keras terhadap BRICS, Malaysia tetap hadir dan terlibat.
“Bahkan saya sendiri akan ke sidang G20 di Afrika Selatan walaupun Amerika memboikot. Ini bukti pendirian kita tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa besar,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal merdeka, bebas dan berdaulat. Dasar negara kekal ditentukan oleh negara sendiri. – KOSMO! ONLINE














