TUMPAT – Seorang mudir madrasah yang dikenali sebagai ‘Abuya’ didenda RM1,950 oleh Mahkamah Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengajar dan mengola atau menyelia guru agama tanpa kebenaran.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Dr. Wan Azmin Wan Adnan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Aswadi yang merupakan pengusaha dan mudir Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang di sini didakwa dua pertuduhan iaitu menyampaikan sesuatu perkara berkaitan agama tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta pondok berkenaan beroperasi tanpa permit.
Mohamad Aswadi membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Terdahulu, Mohamad Aswadi didakwa di empat mahkamah berasingan di Kelantan, Terengganu dan Perak atas 17 pertuduhan melibatkan amang seksual terhadap pelajar lelaki dan satu kes memiliki bahan lucah sejak Jun 2024 sehingga Ogos lalu.
Lelaki itu membayar jaminan sebanyak RM93,000 yang ditetapkan oleh keempat-empat mahkamah tersebut bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE















