fbpx
Mohd. Khalid.

Integriti, kesihatan mental fokus utama PDRM – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengangkat integriti sebagai fokus utama dalam memartabatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai organisasi yang profesional dan disegani.

Menurut beliau, fokus tersebut bagi memastikan setiap warga PDRM dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ketika ini, PDRM sedang membangunkan Strategi Pembanterasan Rasuah Polis Diraja Malaysia (OACS) berpandukan kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha membanteras rasuah.

“Inisiatif ini merupakan indikator terbaik bagi mengekang salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan dalam kalangan warga Sang Saka Biru,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.

Katanya, sejak penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), PDRM terus kekal sebagai organisasi penguatkuasaan yang berintegriti, berwibawa dan beretika.

Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab memelihara integriti dan imej pasukan tidak terletak sepenuhnya kepada JIPS, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak dari peringkat bawahan hingga pegawai atasan.

Justeru, beliau menyeru semua jabatan dan formasi memainkan peranan proaktif bagi memastikan Strategi Pembanterasan Rasuah PDRM dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Barisan kepimpinan perlu terus memperkukuh penyeliaan melalui ‘close monitoring’, pematuhan kepada Arahan Ketua Polis Negara No.191 berkaitan Total Enforcement ke atas Peraturan 3C: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993).

“Langkah ini perlu dijadikan sebagai asas mencegah salah laku dan menambah baik persepsi masyarakat. Saya ingin menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku,” katanya.

Mengulas mengenai kesihatan mental, beliau menyarankan barisan kepimpinan dan penyelia peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau tanda-tanda kemurungan dalam kalangan warga kerja.

“Dalam hal ini, aspek kesejahteraan mental selalunya berpunca daripada bebanan hidup dan tekanan melampau. Langkah awal perlu diambil melalui pendekatan empati, program kaunseling dan bimbingan bagi memastikan mereka yang memerlukan sokongan dan perhatian mendapat sokongan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN