KUALA LUMPUR – Tiga beregu lelaki negara meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang berlangsung di Sydney hari ini.
Gandingan No.5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengetuai dua lagi beregu negara, iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri ke pusingan seterusnya.
Wei Chong-Kai Wun yang tersingkir di pusingan pertama pada Kumamoto Masters minggu lalu menewaskan Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi dari Taiwan 23-21, 21-16.
Kedua-dua pemain itu pastinya turun dalam keadaan lebih tenang memandangkan sudah layak ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China bulan depan.
Momentum Wei Chong-Kai Wun diteruskan Sze Fei-Izzuddin yang turut membenam cabaran wakil Taiwan, Zhi Wei He-Huang Jui Hsuan dengan aksi straight set 21-10, 21-10.
Haikal-Hon Jian pula melakar kejutan dengan menyingkirkan pilihan ketujuh, juga dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan menerusi kemenangan straight set 21-10, 21-13.
Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara gagal untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Gandingan Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tewas kepada Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer dari Denmark dalam aksi tiga set 19-21, 21-13, 20-22.
Dalam pada itu, Lau Yi Sheng-Lim Tze Jian terpaksa akur tewas 15-21, 10-21 kepada pilihan kelima dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri. – KOSMO! ONLINE














