MACHANG – Dua maut selepas kereta dipandu seorang warga emas yang sedang dalam perjalanan ke masjid untuk menunai solat asar secara berjemaah dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, di sini hari ini.
Dalam nahas kira-kira pukul 4.40 petang itu, pemandu kereta Perodua Kelisa, Mokhtar Mohd. Nor, 67, dan penunggang motosikal jenis Yamaha Y15, Mohamad Fahimi Mohd. Daud @ Mohd. Hanafi, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Alfarra Muhamad Zain berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan untuk bantuan menyelamat mangsa kira-kira pukul 4.49 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati pemandu kereta dan penunggang motosikal sudah meninggal dunia.
“Berdasarkan maklumat awal, warga emas yang merupakan pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu sedang dalam perjalanan ke masjid yang terletak bersebelahan jalan utama.
“Kereta dipandunya dipercayai keluar dari simpang sebelum motosikal terbabit yang datang dari arah Pasir Puteh ke Machang telah merempuh kereta warga emas itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahmad Alfarra berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE















