“MEMILIKI Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bukan tanda kamu paling pandai, tetapi tanda kamu insan paling kuat menahan ujian.
“Seperkara lagi, PhD bukan penamat kepada pencarian ilmu, tetapi ia permulaan kepada perjalanan baharu.”
Itu pesanan Dr. Zamri Chik, 59, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang baru sahaja berjaya menamatkan PhD keduanya dan diraikan dalam sebuah majlis konvokesyen 2 November lalu.
Lebih mengejutkan dan memberi inspirasi, datuk kepada dua cucu dan bapa kepada sembilan anak itu tanpa menunggu lama kini sudah masuk ‘gear’ bagi mengikuti pengajian peringkat tertinggi itu buat kali ketiga.
Menurut anak jati Felda Jerangau, Dungun, Terengganu yang berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan analisis, terdahulu dia berjaya menamatkan dua pengajian dalam bidang pendidikan.
Berkesempatan dihubungi K-Kampus, anak kelapan daripada 13 adik-beradik itu mengakui perjalanan akademiknya bukan bertujuan mengejar gelaran sebaliknya kerana minat dan cintakan dunia akademik.
“Minat dan cinta saya dalam dunia akademik semakin mendalam apabila setiap kali melanjutkan pengajian, rasa bebanan dalam pelajaran semakin mudah.
“Masa buat PhD pertama, tidak dinafikan memang rasa susah tetapi bila masuk PhD yang kedua ia semakin senang.
“Sekarang bila sudah mula buat PhD yang ketiga dalam bidang sains politik, saya rasa jauh lebih mudah sebab sudah faham rentak dan perjalanan untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.
“Meskipun umur sudah hampir 60 tahun, saya rasa tenaga itu ada sebab semangat hendak belajar masih mendalam dan puas apabila dapat tamatkan pengajian,” katanya.
Zamri memberitahu, pengalaman menjadi pelajar pascasiswazah memberinya kelebihan untuk memahami cabaran yang dihadapi pelajar lain terutama dalam bab penyelidikan dan analisis data.
“Kini saya giat membantu dan turunkan ilmu kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa serta pelajar yang sedang menyiapkan tesis di pelbagai universiti.

“Saya tahu pensyarah biasanya sibuk, jadi saya bantu secara terperinci bagaimana hendak buat analisis. Jika ada orang minta tolong, saya akan bantu sebaiknya,” katanya.
Berkongsi mengenai bidang dan kajian dibuat bagi PhD, Zamri yang sebelum ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor memberitahu, pendidikan menjadi bidang pilihannya.
“Semasa PhD pertama pada tahun 2015, saya memilih pendidikan dan mengkaji pencapaian mata pelajaran Matematik Tambahan kepada pelajar.
“Selesai pada tahun 2019, setahun selepas itu saya terus sambung PhD kedua dalam jurusan sama tetapi kali ini memfokuskan kajian kepada perkembangan terkini pelajar-pelajar universiti dalam bidang Revolusi Industri 4.0 di Malaysia.
“Bagi PhD ketiga yang sudah saya mulai sejak September lalu, saya memilih dan memfokuskan kepada perkembangan terkini dalam isu-isu semasa politik di negara ini,” katanya.
Zamri sebelum ini meraih sarjana dari OUM Terengganu sebelum mengikuti kesemua pengajian PhD di UniSZA.
Ditanya mengenai kaedah pengajian, Zamri berkata, ia 100 peratus melibatkan penyelidikan dan tidak melibatkan sebarang kelas mahupun apa-apa subjek seperti di peringkat ijazah pertama mahupun sarjana.
Jelasnya, kebiasaan tempoh pengajian PhD bagi seseorang penuntut memakan masa paling minimum sekitar lima semester atau dua tahun setengah.
“Sekiranya tamat pengajian PhD dalam tiga tahun (enam semester) dan ke bawah, pelajar akan dianugerahkan sijil Graduate On Time atau dikenali sebagai GOT,” ujarnya.
Mengenai cabaran terutama dari segi pembahagian masa antara kerja dan proses menyiapkan PhD, dia yang berpengalaman bekerja di lapan buah syarikat ternama dan terakhir berkhidmat di
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai Pegawai Penyelidik Utama (bersara pada 2024) mengakui pengurusan masa begitu penting baginya.
Terangnya, semasa dia melaksanakan PhD pertama dan kedua sebelum ini, masa untuk menumpukan kajian penyelidikan biasanya diperuntukkan selepas pulang bekerja dan hujung minggu.
“Itu pun seandainya tidak melibatkan tugasan hakiki (masa bekerja) di luar. Jika ada kerja di luar terutama pada hujung minggu, saya terpaksa tunda sebentar kajian dan penyelidikan,” katanya.
Tambahnya, bagi PhD ketiganya ketika ini, tiada sangat cabaran yang menghalang, kerana kaedah atau cara menyediakan laporan kajian serta analisis data sudah tidak menjadi masalah dan mudah dilaksanakan.
Diaju penerimaan keluarga terutama isteri dan anak-anak ketika dia menyuarakan hasrat menyambung pengajian PhD, Zamri bersyukur kerana tiada bantahan, malahan sokongan diterimanya.
Beritahunya, isteri dan anak-anak sangat menyokong keinginannya menyambung pengajian sekali gus menjadikan dirinya sebagai idola bagi anak-anak menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.
Tambah membanggakan, ada anaknya yang turut mengikuti jejak langkahnya (menyambung pengajian) meskipun sibuk bekerja tetapi tetap menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dalam menambah ilmu.
“Bila mana anak lihat ayahnya ada PhD, mereka pun nyatakan hasrat mahu ikut jejak sama, itu satu kepuasan bagi saya sebagai seorang bapa,” katanya.
Ditanya perancangan selepas berjaya memperolehi PhD ketiga kelak, Zamri memberitahu dia akan terus menyambung pengajian dan menambah ilmu selagi diizinkan Allah.
Mengakhiri perkongsian, Zamri yang hingga ke saat ini aktif dalam kajian penyelidikan mengingatkan semua pelajar dan bakal penuntut PhD belajarlah kerana Allah dan bukan disebabkan gelaran.
Ujarnya, langkah pertama paling penting adalah niat. Jangan sesekali kejar gelaran (Dr.) semata-mata, tetapi kejarlah ilmu dan keberkatan. Bila niat betul, setiap cabaran menjadi ibadah. Bagi saya,
PhD bukan sekadar menulis tesis, tapi ia menguji kesabaran, kesunyian, keraguan dan keupayaan berdiri semula setelah jatuh.
“Ramai yang cemerlang pada idea, tapi tewas pada masa. PhD adalah perjalanan bertahun, jadi pilih bidang yang kamu benar-benar minat dan percaya memberi manfaat kepada ummah.
“Bila hati cinta pada topik, kamu tidak mudah putus asa meski ia sukar. Bayangkan setiap tulisanmu, idea dan dapatan penyelidikan menjadi manfaat kepada orang lain. Itu pahala yang berterusan. Ilmu yang ditulis dengan ikhlas tidak akan mati, walau jasadmu telah tiada,” noktahnya.














