fbpx

Tebing runtuh undang risiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa penduduk melihat tebing yang runtuh dikhuatiri mengundang risiko keselamatan di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor. Foto RAJA JAAFAR ALI

PASIR GUDANG – Penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, di sini, bimbang isu tebing runtuh yang berlaku sejak empat bulan lalu akan bertambah buruk jika tidak ditangani segera.

Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, kejadian tebing runtuh itu dipercayai berpunca daripada saliran longkang yang tersumbat di kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya menggesa pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan segera memandangkan kawasan tersebut berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan SK Taman Rinting 3 serta tadika berhampiran.

“Kita telah memaklumkan pihak MBJB pada Januari malah turut menghubungi dua minggu lalu. Kita faham MBJB memerlukan masa daripada segi proses tender, cuma kebimbangan adalah berdasarkan aduan ibu bapa dan pelajar sekolah.

“Kami berharap perkara ini diberi pertimbangan dalam kadar segera sebelum ada yang menjadi mangsa akibat masalah ini,” katanya.

Menurut penduduk, Mohamad Ashraf Md. Jusof, 27, berkata, lokasi runtuh itu terletak di jalan masuk ke kawasan perumahan hanya dipagari dengan penghadang jalan bagi mengelakkan penduduk menghampirinya.

“Saya hairan mengapa isu ini tidak diselesaikan dalam keadaan segera sedangkan ia sudah berlaku sejak Disember tahun lalu. Perkara ini tidak seharusnya berlaku.

“Apa yang menjadi kerisauan apabila murid sekolah di sini menggunakan jalan berhampiran cerun sedalam kira-kira tiga meter itu. Walaupun belum pernah berlaku kemalangan membabitkan jiwa, namun langkah mengatasi perlu diambil,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap MBJB ketika dihubungi memaklumkan tindakan sudah diambil oleh majlis bandar raya.

“Pihak kontraktor sudah dilantik dan akan masuk minggu ini di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI