Annsley Dashawna turut menerima anugerah MonStar Awards sebagai penghargaan kerja kerasnya memperjuangkan isu wanita dan belia.

Annsley Dashawna pejuang isu kesihatan wanita, belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTAMA kali mendengar istilah kemiskinan haid ataupun period poverty membuatkan Annsley Dashawna Stephen tertanya-tanya tentang maksudnya.

Dia mendengar istilah tersebut setelah terlibat dalam program Parlimen Wanita Muda pada empat tahun lalu.

Kemudian, gadis berusia 26 tahun itu membuat penyelidikan sendiri untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam.

“Melalui pembacaan dan kajian, barulah saya sedar bahawa kemiskinan haid bukan sekadar tentang kekurangan tuala wanita atau produk haid.

“Tetapi ia turut merangkumi isu lain seperti kekurangan pendidikan mengenai haid dan kebersihan diri, kekurangan akses kepada air bersih serta tandas awam yang tidak bersih atau tidak selamat kerana tiada kunci,” katanya yang merupakan pelajar Sarjana Sains Perubatan dengan pengkhususan dalam Mikrobiologi Perubatan di Universiti Malaya (UM).

Annsley Dashawna juga cuba mencari data dan statistik berkaitan isu ini di Malaysia tetapi dia tidak menjumpai maklumat menyeluruh yang direkodkan.

Hal ini benar-benar membuka mata gadis yang berasal dari Pulau Pinang itu untuk melakukan sesuatu.

Timbul keinginan dalam dirinya untuk menggunakan suara dan platform yang dia ada bagi meningkatkan kesedaran serta memperjuangkan isu kesihatan wanita khususnya berkaitan kemiskinan haid.

Untuk itu Annsley Dashawna mengambil keputusan untuk menubuhkan Pertubuhan Projek Gadis Mekar Malaysia.

“Inspirasi utama saya dalam menumbuhkannya bermula daripada rasa tidak puas hati apabila melihat realiti kita sering berbangga menyebut Malaysia sebagai sebuah negara membangun, namun masih ada golongan wanita yang bergelut dengan isu kemiskinan haid.

“Lebih menyedihkan apabila saya mengetahui bahawa masalah ini turut dihadapi oleh pelajar universiti.
“Ramai antara mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka alami sebenarnya tergolong sebagai satu isu kesihatan dan sosial yang serius,” jelasnya.

PENGALAMAN Annsley Dashawna (berdiri) sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia banyak membantunya dalam memperkukuh peranannya sebagai advokat sosial.

Sehubungan itu, bersama beberapa individu yang mempunyai visi dan semangat yang sama, Annsley Dashawna menubuhkan Projek Gadis Mekar Malaysia dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang apa itu kemiskinan haid, bagaimana untuk mengatasinya dan peranan kerajaan dalam membantu menanganinya.

Antara inisiatif yang paling berimpak yang dilaksanakan oleh pertubuhan tersebut ialah sesi kesedaran yang jalankan di sekolah dan universiti bagi mendidik pelajar tentang kesihatan dan kemiskinan haid.

Melalui program ini, ramai pelajar mula memahami kepentingan akses kepada pendidikan haid dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan seharian sebagai seorang wanita.

Selain itu, Pertubuhan Projek Gadis Mekar Malaysia juga berpeluang menyertai sesi meja bulat bersama Menteri Pendidikan Malaysia dan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk membincangkan langkah-langkah memperbaiki kesejahteraan wanita dan remaja perempuan di negara ini.

Penglibatan ini amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada suara akar umbi untuk didengar di peringkat dasar.

Dalam pada itu, pengalaman Annsley Dashawna sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia banyak membantunya dalam memperkukuh peranannya sebagai advokat sosial kerana ia memberi peluang untuk membina rangkaian dan berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Melalui platform tersebut, saya dapat memperluas hubungan dengan individu serta organisasi yang mempunyai matlamat sama dalam memperjuangkan isu kemiskinan haid dan kesihatan reproduktif wanita.

“Pengalaman ini juga membuka ruang kepada saya untuk turut menjadi salah seorang wakil dalam sesi meja bulat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan menterinya bagi membincangkan usaha mempertingkatkan kesejahteraan wanita dan remaja perempuan di negara ini,” terangnya.

Selain itu, Annsley Dashawna juga pernah menerima anugerah MonStar Awards pada tahun 2018 yang bertujuan untuk mengenal pasti dan mengiktiraf bakat muda yang memberi pengaruh, inovasi serta inspirasi kepada komuniti melalui kisah, kerja atau bakat mereka.

“Saya berasa amat gembira dan terharu kerana tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut apatah lagi menerima undian tertinggi bagi kategori Most Inspiring Award.

“Pengiktirafan ini memberikan saya semangat dan keyakinan baharu untuk terus memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati saya, khususnya dalam bidang kesihatan wanita dan belia,” katanya.

Ujarnya lagi, ia juga menjadi bukti bahawa apabila seseorang melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan dan tujuan yang jelas untuk membawa perubahan, usaha itu akan diiktiraf dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN