KETIKA hujan atau malam yang dingin, tiada yang lebih mengasyikan daripada duduk mengelilingi periuk panas berasap sambil mencelup hirisan daging lembut, sayur segar dan bebola ikan ke dalam kuah mendidih.
Konsep hotpot yang sinonim dengan budaya makan masyarakat Cina, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta makanan itu, khususnya orang Muslim.
Walaupun populariti hotpot semakin meluas di negara ini, namun pilihan restoran konsep itu yang halal masih lagi terhad.
Menyedari hakikat itu, jenama Supamala Hotpot memperkenalkan juadah hotpot di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah Urusan Supamala Hotpot, Alex Yap berkata, dia melihat hotspot di restoran itu bukan sekadar makanan.
“Kami ingin menjadikan restoran ini sebagai tempat orang ramai berkumpul, berbual dan menikmati masa bersama sambil menjamu selera dengan hidangan yang sesuai untuk semua,” katanya kepada CitaRasa.

Supamala Hotpot menampilkan lima set bufet dengan harga serendah RM38.90 untuk Set Makan Tengah Hari atau Supper, Meaty Buffet Set serta Supaluxury Buffet Set.
Lebih daripada 100 pilihan ala carte turut ditawarkan, daripada kuah sup istimewa sehinggalah pencuci mulut kreatif untuk melengkapkan pengalaman makan yang menyeluruh.
Bagi pilihan sup, Supamala Hotpot menawarkan pilihan seperti sup mala tradisi Sichuan, sup tomato merah, sup ayam kolagen dan sup cendawan liar.
Bagi seleksi daging, pengunjung boleh memilih aneka jenis daging seperti daging brisket, hirisan daging kambing, dada itik salai dan hirisan ayam.
Peminat juadah perapan pula boleh memilih juadah seperti kambing perap jintan, ayam perap teriyaki, ayam perap pandan lembut, ayam perap tomato dan kambing perap kari.
Penggemar juadah pencuci mulut, anda boleh menikmati hidangan cendol yang turut disajikan di situ.

Salah seorang pengunjung, Siti Hawa Darman, 34, berkata, dia tidak melepaskan peluang mencuba juadah hotpot halal yang disajikan di premis itu pada hari pembukaannya baru-baru ini.
“Memang banyak restoran yang menyajikan juadah hotpot sebegini, namun yang benar-benar halal itu tidak banyak.
“Saya dan suami amat menyukai juadah ini selepas berkunjung dan mencuba hotpot asli di Xinjiang, China.
“Jadi, kami seronok apabila mendapat tahu sudah ada pilihan hotpot halal di ibu kota,” katanya yang amat menyukai sup mala tradisi Sichuan.
Premis seluas 1,981 meter persegi itu boleh memuatkan sehingga 140 orang pengunjung pada satu-satu masa.
Supamala Hotpot di Bangsar Shopping Centre dibuka pada setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.














