TUJUH rekod kejohanan berjaya dipecahkan dalam dua hari pertama aksi membuktikan kualiti tinggi atlet-atlet yang mengambil bahagian pada saingan Grand Final Varsity Track & Field (VTF) 2025.
Ia sekali lagi menjadi bukti bahawa VTF anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) layak diangkat sebagai pentas pemanas badan terbaik buat barisan atlet negara ke Sukan SEA Thailand bulan depan.
Pada hari pertama Grand Final VTF di Universiti Putra Malaysia (UPM), lima rekod kejohanan berjaya dipecahkan diketuai atlet 400 meter (m) lari berpagar negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir.
Atlet UPM itu mencetak masa 53.12 saat (s), memadam catatan lama miliknya, 53.92s, namun masih ketinggalan di belakang rekod kebangsaan 51.11s yang diciptanya di Sukan Malaysia Sarawak tahun lalu.
Bagi Fakrul, kejayaan memecahkan rekod kejohanan memberikan suntikan semangat kepadanya selepas tiga bulan berehat kerana kecederaan hamstring dialami pada Sukan Universiti Dunia (WUG) di Jerman, Julai lalu.
“Saya amat bersyukur kerana ini adalah larian pertama selepas tiga bulan pemulihan. Catatan 53.12s saya tidak jauh berbeza berbanding sebelumnya dan saya berpuas hati dengan kondisi badan sekarang.
“Baru lima minggu saya mula kembali aktif, jadi prestasi ini memberi keyakinan untuk terus memperbaiki masa pada pertandingan akan datang,” katanya.
Empat lagi rekod kejohanan tercipta pada Jumaat lalu menerusi acara 5,000m wanita oleh Teo Sze Hui (UCSI) dengan catatan 19:28.10s; Hizillawanty Jamain (UMS) acara 800m (2:19.92s); 4x400m campuran UPM (3:35.23s) dan 4x100m campuran UPSI (43.52s).
Pada hari kedua kelmarin, dua lagi rekod kejohanan berjaya dileburkan, kali ini melalui B. Ruveshwaran (MMU) dengan catatan 32:57.69s acara 10,000m lelaki dan kuartet 4x100m wanita UPSI mencatat masa 47.46s.














