SHAH ALAM – International Songket Run (ISR) 5.0 anjuran Management and Science University (MSU) mencipta sejarah tersendiri apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyertai larian tersebut hari ini.
Baginda mencemar duli berlari sejauh dua kilometer (km) sebaik sahaja melepaskan peserta bagi kategori larian lima km.
Baginda diiringi Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid, Naib Canselor MSU, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid serta pengurusan kanan universiti sepanjang larian itu.
Selepas menamatkan larian, Tengku Permaisuri berkenan melawat pameran seni tradisional ‘Tenunan Berdaulat: Warisan Songket & Telepuk’ yang dianjurkan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE) bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Mohd. Shukri berkata, penganjuran ISR adalah untuk mengangkat martabat budaya seni tenun songket di Selangor.
“Program ini memperlihatkan bagaimana seni tradisi songket dapat diperkenalkan kepada generasi muda melalui pendekatan moden yang menarik.
“ISR 5.0 menyaksikan penyertaan kira-kira 6,000 peserta merangkumi jarak larian sejauh lima dan 10 km dengan kampus MSU menjadi lokasi mula dan tamat larian,” katanya.
Acara tahunan itu turut memperkenalkan beberapa kategori baharu termasuk peserta paling muda, peserta paling tua, kumpulan paling ramai serta peserta yang memakai songket paling kreatif.
Pada ISR kali ini, Muhammad Nurammar Mohammad Ikbal,18, dan Iris Alanna Jansen menjadi juara kategori lelaki dan wanita terbuka seterusnya membawa pulang wang tunai RM700.
Bagi Iris Alanna, 16, dia berpuas hati dapat mempertahankan kejuaraan buat kali kedua dengan laluan kali ini diakui agak mencabar dengan melibatkan banyak laluan berbukit.
“Jadi, saya terpaksa susun strategi, tahu di mana untuk pecut dan di mana untuk memperlahankan langkah. Tahun depan saya akan menduduki SPM, jadi jika ISR dianjurkan selepas peperiksaan itu, saya pasti akan sertai lagi,” kata anak jati Melaka itu. – KOSMO! ONLINE















