TINDAKAN kurang siuman seorang lelaki yang berani menyerbu selebriti terkemuka, Ariana Grande pada acara karpet merah tayangan perdana filem Wicked: For Good di Singapura semalam akhirnya membawa padah apabila dia didakwa di mahkamah.
Menurut laporan BBC News, Johnson Wen atau dikenali sebagai Pyjama Man yang tular selepas melompat melepasi penghadang sebelum berlari ke arah Grande kini berdepan pertuduhan menyebabkan kekacauan atau gangguan awam.
Jika disabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga SD2,000 (RM7,300). Media tempatan melaporkan Wen sudah pun menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah.
Lelaki Australia berusia 26 tahun itu sememangnya gemar ‘menceroboh’ acara melibatkan selebriti terkenal.
Difahamkan, dia pernah muncul di pentas konsert Katy Perry, The Weeknd, The Chainsmokers dan beberapa artis popular lain.
Dalam satu hantaran Instagram Story selepas kejadian melibatkan Ariana, Wen dengan selamba mengumumkan dia sudah bebas selepas ditahan pihak berkuasa.
Tindakannya mencetuskan kemarahan netizen terutama apabila dia bertindak memuat naik video berkenaan di Instagram dengan bangga kononnya apa yang dilakukan merupakan pencapaian hebat.
“Kau buat macam ni selalu… pelik tak masuk penjara?” kata seorang pengguna.
Seorang lagi menulis: “Tolong ambil tindakan. Ini jelas kesalahan jenayah.”
Sementara itu, Ariana dan seluruh barisan pelakon Wicked: For Good kini meneruskan jelajah global untuk mempromosikan filem muzikal berkenaan yang bakal ditayangkan pada 21 November ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan Ariana berdepan detik cemas apabila dipeluk secara mengejut tanpa kerelaan seorang peminat lelaki pada acara tayangan perdana filem Wicked: For Good di Singapura.
Dalam kejadian yang berlaku di Resorts World Sentosa itu, Ariana bersama dua pelakon naskhah terbabit termasuk Tan Sri Michelle Yeoh dan Cynthia Erivo sedang berjalan di karpet merah sebelum lelaki dipercayai warganegara Australia itu menderu masuk dan merangkul bahu pelantun lagu Thank U, Next tersebut. – KOSMO! ONLINE















