KANGAR – Sebanyak 100,000 kilogram (kg) beras dirampas selepas dua buah lori kontena ditahan dalam operasi kastam di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah baru-baru ini.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis sekitar pukul 3.30 petang pada 29 Oktober lalu.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kedua-dua lori tersebut didapati membawa dagangan beras masing-masing sebanyak 50,000 kg.
“Walau bagaimanapun pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengimportan ketika diminta oleh anggota operasi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keseluruhan sitaan berjumlah 100,000 kg dengan nilai dianggarkan RM350,000 serta melibatkan duti import sebanyak RM140,000.
“Turut disita dua buah lori bersama kontena masing-masing bernilai RM340,000,” ujarnya.
Menurutnya, dua pemandu lori warga tempatan berusia 24 dan 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan namun telah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang. – KOSMO! ONLINE















