GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa projek terowong dasar laut Pulau Pinang tidak terbengkalai, sebaliknya masih bergerak aktif melalui fasa penelitian teknikal dan penyempurnaan reka bentuk.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak cadangan awalnya pada 2011, kerajaan negeri tidak pernah mengumumkan sebarang pembatalan terhadap projek di bawah Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) tersebut.
Beliau berkata, usaha penyempurnaan reka bentuk dan penelitian teknikal terus dilakukan secara berterusan.
Menurutnya, perkembangan terkini projek turut dibentangkan oleh syarikat berkaitan dalam Mesyuarat Exco minggu lalu bagi meneliti langkah terbaik menyelesaikan beberapa isu teknikal yang masih berbangkit.
“Antara isu utama yang sedang diperhalusi termasuk keperluan memastikan cadangan pembinaan jambatan pengganti tidak menjejaskan operasi Pelabuhan Pulau Pinang serta faktor ketinggian struktur berikutan kedudukannya yang berhampiran Pangkalan Udara TUDM Butterworth.
“Semua isu teknikal ini masih dalam peringkat untuk diperhalusi. Mengikut perjanjian, kerja-kerja kajian juga belum selesai dan mereka tidak akan meneruskan sehingga semua pihak berpuas hati dengan reka bentuk jajaran, susunan kewangan serta aspek-aspek lain,” katanya menjawab soalan Azmi Alang (Bersatu-Teluk Ayer Tawar) berhubung status Projek Terowong Dasar Laut.
Untuk rekod, projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer bersama tiga jalan utama itu merupakan sebahagian daripada komponen PTMP bernilai keseluruhan RM46 bilion. – KOSMO! ONLINE















