LELAKI harus terlihat kuat. Malah lelaki maskulin menjadi dambaan para wanita. Kaum Adam yang maskulin boleh dilihat daripada beberapa aspek. Dari segi fizikal kaum lelaki perlu berpenampilan kemas dan yakin termasuk menjaga kebersihan diri, berpakaian rapi, dan tahu cara membawa diri.
Mengamalkan gaya hidup sihat selain tubuh bertenaga dan aktif. Tidak semestinya berotot besar, tetapi fizikal yang sihat cergas dan kuat dalam melakukan kerja harian. Selain itu, gaya berjalan dan bahasa tubuh tegas juga menambahkan keterampilan kaum Adam. Bahasa tubuh berdiri tegak, langkah yakin dan gerak tubuh menunjukkan keyakinan bakal menjadi perhatian baik dalam ruang lingkup kerja dan keluarga.
Dari segi mental pula, seorang lelaki perlu tegas dalam prinsip. Apa yang diyakininya tidak mudah tergoyahkan oleh tekanan luar. Memiliki sifat tanggungjawab selain seimbang dalam mengakui kesilapan dan berusaha sehabis baik memperbaiki kesalahan tanpa menyalahkan orang lain.
Kaum wanita ramai ‘memuja’ kalangan lelaki yang bijak. Kebijakan ini dapat dilihat dalam membuat keputusan, kematangan untuk menimbang baik dan buruk sebelum bertindak. Berpendirian teguh namun masih terbuka menerima nasihat.
Dari segi emosi lelaki perlu seperti peribahasa Air tenang menghanyutkan. Bermaksud orang yang pendiam itu biasanya berilmu dan dapat melakukan pekerjaan besar-besar. Tenang dalam tekanan, empati dan melindungi, berani menunjukkan kasih sayang selain bijak mengawal ego. Dalam menjadi pemimpin seorang lelaki perlu berintegriti, konsisten antara kata dan perbuatan.
Maskulin sejati tidak perlu merendahkan sesiapa untuk kelihatan kuat, malah menghormati wanita dan orang lain.
Selayaknya golongan Adam berperanan sebagai pelindung dan pembimbing selain menjadi sandaran ketika orang lain perlukan kekuatan. Paling penting dalam perhubungan mereka mempunyai matlamat hidup, tahu ke arah mana untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.
Demikian beratnya beban seorang lelaki. Ini jangkaan masyarakat. Jika tidak terisi kotak-kotak tersebut maka dia terlihat lemah, malah diperlekeh. Sekali gus memberi kesan kepada kesihatan mental golongan tersebut.
Di Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad mendedahkan, setakat Julai tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,183 kes keganasan rumah tangga membabitkan lelaki.
Penulis sendiri sebagai orang media mengakui, kes-kes sebegini kurang mendapat liputan di media massa berbanding kes melibatkan wanita. Mungkin ia disebabkan oleh stigma masyarakat atau rasa malu.
Namun, data PDRM menunjukkan kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum lelaki pada 2022 sebanyak 1,778 kes, diikuti pada 2023 (1,213 kes) dan tahun lalu sebanyak 1,865 kes.
November adalah Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Sedunia yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan fizikal dan mental lelaki. Kempen ini memberi tumpuan kepada isu seperti kanser prostat, kanser testis, dan kesihatan mental lelaki yang sering diabaikan.
Wajar juga selain menggalakkan kesedaran, ia juga memberi saranan untuk mengambil langkah-langkah melindungi kesihatan fizikal lebih-lebih lagi mental.














