fbpx
Gambar hiasan.

Dakwaan soalan Ujian Bertutur SPM bocor tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Dakwaan berlakunya kebocoran soalan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 seperti yang tular di media sosial disifatkan sebagai tidak benar.

Sebaliknya, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, maklumat yang ditularkan itu adalah senarai tema umum dan merupakan kandungan yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

”KPM mengambil perhatian serius dakwaan kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SPM 2025 seperti yang tular di media sosial.

“Tindakan pantas telah diambil untuk menyiasat dakwaan ini termasuk dengan meneliti sebaran yang tular.

“Hasil siasatan mendapati bahawa maklumat yang ditularkan adalah senarai tema umum dan merupakan kandungan yang terdapat dalam DSKP,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KPM berkata, senarai tema yang ditularkan adalah ramalan oleh guru dan calon peperiksaan SPM.

“Ia tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan.

“Kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan, diklasifikasikan sebagai sulit seperti peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak,” katanya.

Susulan itu, semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 dinasihatkan untuk kekal tenang
dan terus fokus kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

“KPM berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 adalah terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN