Sungai Sarawak bukan sekadar sebatang sungai yang mengalir tenang, malah ia menjadi nadi kehidupan yang sarat dengan kisah, budaya dan rahsia alam belum diterokai sepenuhnya.
Biarpun belida bintik adalah ikan pendatang yang berasal dari industri akuarium, namun ia masih menjadi salah satu spesies ikan menarik minat pengilat tanah air berikutan kesudiannya menyambar gewang dimainkan.
Ikan ini hadir dengan bentuk tubuh pipih berkilau, seakan bilah perak yang menari di dalam air. Renangannya lembut, penuh lenggok seni, tetapi di sebalik keindahan itu tersembunyi kekuatan yang mampu menguji kesabaran dan kemahiran pemancing.
Dalam landskap memancing moden hari ini, teknik mengilat gewang semakin mendapat tempat di hati pemancing tempatan.
Jika dahulu penggunaan umpan hidup menjadi pilihan utama, kini gewang atau umpan tiruan telah membuka dimensi baharu dalam dunia pancingan air tawar.
Namun, memburu ikan belida bintik bukanlah semudah melontar gewang ke air. Ia memerlukan kefahaman mendalam terhadap tingkah laku spesies ikan ini.
Belida bintik terkenal sebagai ikan yang gemar bersembunyi di kawasan berstruktur.
Reba kayu, batang pokok tumbang dan timbunan dahan pokok tenggelam menjadi lokasi kegemarannya. Struktur ini bukan saja memberi perlindungan, tetapi menjadi tempat ia mengintai mangsanya. Selain itu, kawasan tebing sungai yang berarus perlahan sering menjadi zon aktif bagi ikan ini.
Air yang tidak terlalu deras memberi ruang kepada ia bergerak dengan lebih santai sambil memburu. Selekoh sungai yang dalam juga tidak boleh dipandang remeh.
Di sinilah sering berlaku pertemuan antara arus, sekali gus mewujudkan zon makanan yang menarik perhatian ikan pemangsa.
Gewang
Dalam soal pemilihan gewang, pemancing perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan air dan nafsu ikan. Soft plastic (SP) sering menjadi pilihan kerana teksturnya yang lembut dan aksi realistik.
Ia mampu meniru pergerakan anak ikan dengan cukup menyakinkan.
Vibe lure pula efektif untuk meneroka lapisan air yang lebih dalam, terutama apabila belida bintik bermain di dasar.
Sementara itu, minnow selaman cetek sangat sesuai digunakan di kawasan tebing atau sekitar struktur di kawasan cetek.
Karauan gewang memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Dalam memburu belida bintik, kesabaran adalah kunci utama.
Karauan perlahan sering kali lebih efektif kerana ia memberikan aksi semula jadi pada gewang.

Mengarau gewang secara stop and go pula biasanya mampu mencetuskan naluri serangan belida bintik, seolah-olah gewang tersebut adalah mangsa yang cedera dan mudah ditangkap.
Sebaliknya, karauan terlalu laju bukan sahaja mengurangkan keberkesanan, malah berisiko menakutkan ikan yang sememangnya sensitif terhadap getaran luar biasa.
Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih mendebarkan adalah saat belida bintik membuat sambaran.
Tidak seperti sesetengah spesies ikan lain yang menyambar dengan agresif dari awal, ia sering kali menyerang secara tiba-tiba, satu henjutan kuat datang tanpa amaran.
Dalam detik inilah, ketenangan pemancing diuji. Mengawal tekanan tali menjadi aspek paling kritikal. Ia perlu dikekalkan secara konsisten tanpa terlalu memaksa.
Sistem drag kekili harus diselaraskan dengan baik, tidak terlalu ketat hingga merisikokan rabut, dan tidak terlalu longgar hingga memberi ruang kepada ikan meloloskan diri ke struktur.
Ini penting kerana mulut belida bintik agak lembut, dan kesilapan kecil boleh menyebabkan mata kail terlucut.
Di sinilah kelebihan penggunaan joran berkualiti dengan sifatnya yang fleksibel.
Saya gemar guna joran Rentaka Blackheart 3, kelas 6-17lb, panjang 6’ 6” yang mampu menyerap henjutan mengejut sambil mengekalkan tekanan stabil.
Joran seperti ini memberi kelebihan untuk melayan benaman ikan dengan lebih terkawal, terutamanya ketika ia cuba menyelinap ke celah reba.
‘Bahasa sungai’
Namun, di sebalik semua teknik dan peralatan, terdapat satu elemen yang tidak boleh diajar iaitu ‘naluri’.
Pemancing yang kerap turun ke lapangan akan mula memahami ‘bahasa sungai’.
Perubahan warna air, arah arus, bunyi alam, malah kehadiran burung di permukaan air, semuanya memberi petunjuk kepada kehadiran ikan belida bintik di satu-satu kawasan. Memancing belida bintik di Sungai Sarawak bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang. Ia adalah satu perjalanan yang menggabungkan ilmu, pengalaman dan emosi.
Setiap balingan gewang membawa harapan, setiap getuan memberi debaran dan setiap sambaran mencipta kenangan yang sukar dilupakan.
Rata-rata pemancing di dalam dan luar negara mengakui keunikan serta cabaran mengilat ikan ini. Ia memberi satu kenangan dan pengalaman cukup indah.
Bagi mereka yang mencari cabaran dalam dunia memancing air tawar, ikan ini adalah jawapannya. Ia adalah simbol kepada kehalusan teknik dan ketajaman deria seorang pemancing.
Sekali anda merasai henjutan pertamanya, percayalah ia akan terus terpahat dalam ingatan, memanggil anda kembali ke Sungai Sarawak untuk mencari libasan ‘si perak’.














