Penulis mengenali pemuda ini selepas pernah diajak memancing di kawasan sawah padi di belakang rumahnya.
Muhammad Luqmanul Hakim Azhar, 26, yang berasal dari Kampung Gunung, Bachok, Kelantan berkata, minatnya dalam dunia memancing bermula seawal usia enam tahun selepas terpengaruh dengan bapanya yang merupakan seorang nelayan.
Menurutnya, pengalaman awal itu menjadi titik tolak untuk dia terus aktif memburu pelbagai spesies ikan sama ada di laut mahupun di darat.
Katanya, bagi setiap trip ke laut, dia biasanya akan singgah di sekurang-kurangnya 10 unjam dalam tempoh dua hari satu malam.
“Dalam tempoh itu, saya pastikan bekalan umpan seperti udang hidup mencukupi, selain ais untuk mengekalkan kesegaran ikan yang diperoleh.
“Kalau dapat hasil banyak, saya jual sedikit sahaja, selebihnya saya lebih suka bersedekah kepada rakan-rakan dan jiran sekitar,” ujarnya.
Layaran
Siapa sangka, peralatan tradisional iaitu koyan (handline) juga mampu menewaskan ikan layaran seberat 37 kilogram (kg) di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, sekali gus menjadi rekod peribadi Luqmanul.
Dia berjaya mendaratkan ikan tersebut menggunakan koyan dengan tali tangsi bersaiz 60 paun (lb), mata kail berdawai tanpa pemberat serta umpan sotong hidup yang dicandat.
Katanya, pertarungan dengan spesies ikonik laut dalam itu mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum berjaya didaratkan.
“Ini pengalaman paling mencabar sepanjang saya memancing. Guna koyan sahaja, jadi setiap henjutan ikan memang terasa. Silap langkah, tali boleh putus.
Selain turun ke laut, Luqmanul juga selalu memburu ikan siakap putih dan siakap merah di kawasan muara. Ikan-ikan ini perlu diketahui keadaan arus yang bersesuaian supaya tidak pulang tangan kosong.
Umpan udang hidup dan gewang merupakan senjata utama untuk kedua-dua spesies siakap ini.
Menurutnya, selain estuari, kawasan tambak berbatu sekitar Tok Bali hingga Kuala Besut merupakan antara lokasi kegemarannya untuk memancing pelbagai jenis ikan terutamanya gelama, senangin, pari, ebek, talang, siakap putih dan siakap merah.
Kawasan tambak berbatu tersebut juga dekat dengan rumah dan sentiasa boleh dikunjungi pada bila-bila masa sahaja, terutamanya ketika ada musim ikan masuk.
Bercerita berkenaan trip ke laut menggunakan bot, kos memancing bergantung kepada jarak dan tempoh perjalanan.
“Jika trip balik hari, biasanya tidak sampai RM200 seorang, tetapi jika perjalanan jauh dan tempoh lama, kos boleh mencecah RM800 bergantung kepada pakej,” katanya.
Menurutnya, antara spesies buruan utamanya termasuk tenggiri, alu-alu, talang, dan spesies ikan dasar seperti kerapu serta jenahak.














