Dalam dunia moden yang semakin dipenuhi gajet dan hiburan digital, usaha menarik minat kanak-kanak untuk aktif di padang sememangnya menjadi satu cabaran.
Namun syarikat telekomunikasi, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) tampil dengan inisiatif segar untuk memastikan generasi muda terus membesar dengan gaya hidup sihat dan aktif menerusi sukan, khususnya bola sepak.
Baru-baru ini, CelcomDigi telah mengadakan Klinik Bola Sepak Kanak-kanak CelcomDigi (CelcomDigi Kids Football Clinic) iaitu satu inisiatif untuk memupuk kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi platform Arena CelcomDigi iaitu usaha memperkukuhkan komitmen dalam mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Klinik bola sepak merupakan antara misi utama Arena CelcomDigi untuk membina ekosistem sukan berdaya mampan serta memperluaskan akses sukan kepada golongan muda.
Ia juga menawarkan ruang yang inklusif dan selamat kepada kanak-kanak untuk belajar, bermain serta membesar melalui program latihan berstruktur.
Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Ketua Pegawai Transformasi CelcomDigi, Datuk Kamal Khalid di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.
Ujar Hannah, pelancaran klinik bola sepak itu menjadi contoh bagaimana kerjasama awam-swasta mampu mencipta impak bermakna di peringkat akar umbi.
“Kolaborasi antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan CelcomDigi mencerminkan bagaimana entiti yang berbeza boleh bergabung tenaga untuk memperkasakan remaja serta memacu pembangunan komuniti.
“Program seperti Klinik Bola Sepak Kanak-kanak CelcomDigi ini diperlukan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, di samping mencungkil bakat sukan yang merupakan aset masa depan negara.
“Kami menggalakkan lebih banyak organisasi swasta untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan dalam menganjurkan inisiatif seperti ini.

“Saya percaya, negara kita tidak ketandusan bakat baharu. Apa yang kita perlukan adalah lebih banyak platform seperti ini untuk meneroka dan memupuk bakat dari peringkat awal,” katanya.
Dengan sokongan KBS, DBKL dan YFA Red Star Academy selaku rakan program, Klinik Bola Sepak Kanak-Kanak CelcomDigi direka khas untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Program itu juga menawarkan pembelajaran sukan yang berstruktur dalam persekitaran inklusif dan selamat.
Selain memberi tumpuan kepada kemahiran bola sepak, ia turut menekankan pembangunan sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan di bawah bimbingan jurulatih bola sepak bertauliah menerusi modul latihan progresif.
Sementara itu, Kamal memaklumkan, Klinik Bola Sepak Kanak-kanak CelcomDigi tersebut melangkaui program bola sepak.
“Ini merupakan sesuatu pergerakan yang dipacu oleh komuniti dan dijana oleh Arena CelcomDigi bagi membawa acara sukan kegemaran Malaysia kepada masyarakat dan memberi akses kepada kanak-kanak.
“Matlamat kami adalah untuk membina satu platform yang mampu memupuk bakat muda dan mengukuhkan hubungan komuniti menerusi sukan.
“Bermula di Taman Rimba Kiara, kami akan mengembang sayap ke lebih banyak taman awam di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain dengan sokongan agensi kerajaan serta kerjasama pihak lain,” jelasnya.
Arena CelcomDigi merupakan sayap kepada syarikat CelcomDigi yang menganjurkan pelbagai acara sukan bagi meningkatkan gaya hidup sihat serta memupuk bakat muda sukan tradisional dan digital seperti e-sukan, pickleball, sepak takraw, boling padang dan banyak lagi.
Arena CelcomDigi memperkasakan rakyat Malaysia untuk meneroka minat kesukanan masing-masing dengan menyediakan peluang latihan, pembabitan komuniti dan keterhubungan digital bagi meningkatkan semangat kesukanan.
Dengan semangat dan sokongan padu daripada pelbagai pihak, usaha itu diharap dapat melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sahaja cemerlang di padang, malah berdisiplin dan berjiwa besar.














