KUALA LUMPUR – Seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang didakwa memperlekeh dan mempersoalkan tindakan anggota polis ketika menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga Pakistan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia susulan kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada semalam.
“Siasatan telah selesai, kita (polis) akan tuduh dia (Inspektor Sheila) dalam masa terdekat,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Kes tersebut membabitkan kejadian pada malam Selasa lalu di Jalan Ipoh, di sini, apabila polis melakukan pemeriksaan terhadap lelaki warga Pakistan yang didapati memandu tanpa lesen.
Namun, wanita berkenaan didakwa mempertikai tindakan anggota bertugas serta menuduh mereka tidak mengetahui undang-undang selain mendakwa polis mengugut warga asing itu.
Susulan laporan dibuat, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang dimuat naik wanita sama, mendakwa anggota polis terbabit mengugut lelaki Pakistan berkenaan.
Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, seiring beberapa kes lain yang pernah dikaitkan dengannya termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – KOSMO! ONLINE














