SHAH ALAM – Polis mengesahkan lelaki yang mati ditembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang dekat sini pada Jumaat lalu mempunyai rekod berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa berusia 34 tahun itu juga adalah dikehendaki polis di bawah siasatan SOSMA.
“Mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah sebelum ini dan SOSMA antara salah satunya.
“Setakat hasil semakan rekod menunjukkan mangsa dikehendaki bersabit SOSMA itu,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu.
“Siasatan menjurus pelbagai aspek kerana latar belakang mangsa. Justeru kita tidak boleh merumuskan kepada satu aspek sahaja (kepada kongsi gelap).
“Kita juga sedang menentukan sama ada penglibatan mangsa dalam kumpulan haram atau gengster,” jelasnya.
Katanya, setakat hari ini sebanyak tujuh keterangan telah diambil melibatkan isteri dan ahli keluarga serta saksi kejadian.
“Punca kematian kesan beberapa das tembakan pada dada dan perut. Jasad mangsa telah diserahkan kepada untuk pengebumian pada 9 November lalu dan dimaklumkan proses pengebumian telah selesai dilakukan (pihak keluarga),” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah mati ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang pada 11.13 malam, 7 November lalu.
Dalam kejadian mangsa yang tidak bekerja itu didapati ditembak beberapa kali oleh seorang penyerang yang menunggang motosikal.
Difahamkan, mangsa mempunyai lapan rekod jenayah selain dikehendaki di bawah SOSMA. – KOSMO! ONLINE













