NAMA Abi Madyan mungkin masih baharu dalam dunia perfileman tempatan, namun bakatnya mula menyerlah menerusi filem Banduan. Dia membawakan watak Rejab dengan penuh penghayatan.
Di sebalik wajah tenangnya, tersimpan kisah dan falsafah hidup yang menarik terutama tentang hubungannya dengan muzik, teknologi dan cara dia mendekati dunia lakonan.
Menurut Abi, perjalanan hidupnya banyak dipengaruhi oleh satu gajet yang kini dianggap klasik iaitu walkman.
“Gajet yang awal dalam hidup saya adalah walkman sebab dulu membesar dengan abang-abang, memang zaman itu zaman walkman.
“Menerusi walkman juga lahirlah kecintaan saya terhadap muzik. Walkman bukan sekadar alat hiburan tetapi menjadi pintu yang memperkenalkan saya kepada dunia bunyi, irama dan emosi yang kini turut mempengaruhi pendekatan seni saya sebagai pelakon,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno pada Majlis Tayangan Perdana filem Banduan di TGV Suria KLCC baru-baru ini.
Tambah Abi, dia mengakui bahawa muzik memainkan peranan penting dalam proses membina sesuatu watak. Katanya, apabila dia menghafal dialog atau mencari karakter, dia akan berpandukan kepada muzik. Muzik boleh membawanya lebih dekat dengan karakter ingin dibawa.
Baginya, setiap melodi mempunyai tenaga emosi tersendiri yang dapat membantu menyelami perasaan watak. Pengaruh ini menjadikan gaya lakonan Abi lebih berjiwa dan autentik.
Namun, seperti dunia yang terus berubah, teknologi juga berkembang pantas dan muzik kini boleh distrim menggunakan telefon pintar
“Dulu kalau nak dengar muzik guna telefon memang susah sebab kena muat turun tapi dengan walkman kita cuma guna kaset.
“Sekarang semua dah ada dalam telefon pintar dan muzik juga tidak terhad serta mempunyai banyak genre untuk distrim,” ujarnya.
Kini, Abi lebih banyak mendengar lagu melalui telefon, namun kenangan bersama walkman tetap menjadi nostalgia berharga dalam hidupnya.

Dari era rock kapak seperti Rusty Blade dan Bumiputra Rockers yang didengari abangnya hingga ke muzik indie seperti Hujan dan Meet Uncle Hussien yang mewarnai zaman remajanya, perubahan genre muzik ini turut menggambarkan perjalanan hidup dan kematangan seninya.
Walaupun mengakui teknologi banyak membantu dalam kehidupan seharian, Abi bukanlah seseorang yang terlalu bergantung kepada gajet.
Katanya dia jarang dekat dengan gajet, ada telefon sekadar untuk media sosial dan ambil tahu berita semasa serta berhubung.
Tidak seperti kebanyakan orang yang gemar menggunakan iPhone, Abi lebih selesa dengan Android kerana fungsinya lebih mudah dan mesra pengguna.
Sementara itu, mengakui dirinya seorang introvert, Abi menemukan keseimbangan dalam lakonan, bidang yang memerlukan ekspresi dan komunikasi emosi yang mendalam. Dia sangat sukakan kerja lakonan dan tiada masalah untuk berlakon.
Dalam aspek pencarian ilmu, dia percaya tidak semua maklumat terbaik datang dari internet.
“Gajet merupakan cara paling pantas untuk cari rujukan tetapi kadang-kadang maklumat paling bernilai datang daripada cara lama.
“Meskipun cara itu agak kuno seperti membaca atau bertanya dengan orang yang lebih arif, sebenarnya ia dapat memberi kita ilmu yang kadangkala tidak ada dalam talian,” tambah Abi.
Bagi Abi Madyan, teknologi mungkin berubah, namun nilai seni, emosi dan pengalaman manusia tetap kekal abadi.
Walkman mungkin hanya kenangan lama tetapi daripada alunan kaset itulah lahirnya seorang pelakon yang menjadikan muzik sebagai nadi dalam setiap lakonannya.














