SEJAK sekian lama, barang kemas menjadi perhiasan bersifat eksklusif yang begitu digemari oleh kaum wanita.
Begitu juga dengan ibu dan kakak kepada Mohamad Khairul Anam Mohd. Razali, 22, yang meminati keindahan rekaan serta nilai sentimental pada setiap barang kemas.
“Sejak kecil, saya melihat mereka sering mengumpul barang kemas. Dari situ saya tertarik melihat estetika reka bentuk gelang, cincin dan rantai emas.
“Disebabkan minat terhadap rekaan barang kemas, saya mula menanam impian untuk mendalami ilmu rekaan produk itu,” ujarnya.
Pemuda yang berasal dari Kelantan itu berkata, minat terhadap rekaan barang kemas bukan sekadar pada kemewahannya, sebaliknya tentang bagaimana seni berkenaan boleh digabungkan dengan sains dan teknologi.
Minat tersebut telah mendorong pemuda yang mesra disapa Khairul Anam itu menyambung pengajian berkaitan barang kemas.
Dia kini sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Teknologi Barang Kemas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Mengulas tentang program pengajiannya, Khairul Anam berpandangan, ia merupakan platform akademik yang holistik dalam melahirkan tenaga pakar dan usahawan berdaya saing dalam industri barang kemas.
“Melalui kurikulum komprehensif, saya didedahkan dengan teknik pembuatan, teknologi penghasilan moden serta reka bentuk yang menekankan inovasi dan kesesuaian dengan trend semasa.
“Selain aspek teknikal, program ini turut menekankan strategi pemasaran, pengurusan perniagaan dan keusahawanan.
“Ia bagi membentuk graduan yang bukan sahaja mahir mereka bentuk, sebaliknya mampu mengkomersialkan karya secara strategik,” jelas pelajar tahun akhir itu.

Selain itu, program tersebut menitikberatkan pembelajaran bidang gemologi iaitu kajian saintifik mengenai batu permata yang menjadi elemen penting dalam dunia perhiasan dan industri bernilai tinggi di Malaysia.
Ketika memilih bidang tersebut, Khairul Anam tidak terlepas daripada pandangan skeptikal, namun pengalaman dan ilmu yang diperoleh telah mengubah segalanya.
HAKIKATNYA, bidang itu melahirkan ramai pakar profesional yang memainkan peranan besar dalam industri barang kemas negara.
“Ramai orang tak tahu bahawa setiap kilang pengeluar dan pengedar barang kemas memerlukan kreativiti seorang pereka profesional.
“Barang kemas yang berada di pasaran bermula daripada lakaran seorang pereka, bukan mesin semata-mata,” ujarnya.
Pada masa hadapan, Khairul Anam turut mempunyai impian membuka studio rekaan barang kemas sendiri.
Malah, dia ingin menghasilkan barang kemas ‘custom’ yang mempunyai sentuhan peribadi pelanggan.
Dalam pada itu, Aida Husna Mohamad Zaki juga merupakan salah seorang pelajar yang sedang mengikuti program sama.
Menurut gadis berusia 23 tahun itu, minat dalam bidang tersebut banyak dipengaruhi oleh keluarga dan bapanya yang merupakan seorang pakar penempaan logam besi seperti keris.
“Sejak kecil, saya didedahkan dengan seni reka berasaskan logam ini.
“Selain itu, kakak saya juga merupakan bekas pelajar UiTM dalam bidang seni reka dan kini bekerja di butik barang kemas,” jelasnya.

Aida Husna yang berasal dari Kelantan menjelaskan, dalam proses pembelajaran menghasilkan rekaan produk barang kemas, ia dimulakan dengan kajian awal berdasarkan tema dan konsep.
Tema menjadi asas untuk pelajar mengembangkan idea hingga dapat menghasilkan rekaan kreatif yang segar.
Kemudian, pelajar akan menyediakan proposal reka bentuk barang kemas, di mana ia perlu melalui proses perincian dan pengkomersialan idea sebelum penghalusan reka bentuk akhir.
Proses diteruskan dengan pemilihan reka bentuk terbaik, pembangunan prototaip sehingga ke fasa produk akhir.
“Proses menghasilkan satu produk barang kemas biasanya mengambil masa sekitar satu hingga dua minggu, bergantung pada tahap kehalusan serta inovasi sesuatu rekaan itu.
“Kami menggunakan pelbagai bahan logam seperti tembaga tulen, perak dan kadangkala emas dalam proses pembelajaran atau eksperimentasi,” katanya.
Aida Husna menambah, pelajar bukan sekadar belajar kemahiran asas menghasilkan barangan kemas, sebaliknya turut menguasai kemahiran teknologi digital serta pelbagai perisian reka bentuk untuk menghasilkan rekaan tiga dimensi (3D) dan prototaip digital.
Sebagai seorang pelajar, Aida Husna gembira kerana pernah diberi kepercayaan oleh pihak industri untuk menghasilkan rekaan dan trend terbaharu.
Sebelum ini, dia berkesempatan menjalani latihan industri di sebuah butik barang kemas yang mengetengahkan pelbagai konsep dan reka bentuk inovatif.
“Di sana, saya berpeluang menjadi pereka dan belajar proses fabrikasi produk barang kemas secara menyeluruh mengikut kehendak dan permintaan.
“Reka bentuk disediakan oleh pereka profesional, dan saya menghasilkan produk dari proses awal hingga akhir,” jelasnya yang memiliki impian membuka butik barang kemas sendiri.
Ujarnya lagi, pereka barang kemas perlu sentiasa up to date dengan trend semasa kerana pelanggan lebih berminat dengan rekaan moden dan minimalis terutamanya golongan muda.
Berdasarkan pengalamannya ketika menjalani latihan industri, dia dapat melihat perbezaan cita rasa antara pelanggan muda dan golongan lebih berusia.
Dalam pada itu, Koordinator Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam, Dr. Saadiah Kaspin berkata, program tersebut merupakan antara yang paling awal ditawarkan oleh UiTM bermula pada tahun 1969.
Kini setelah 56 tahun penubuhannya, program itu masih relevan dalam membangunkan dan menyediakan modal ihsan untuk keperluan industri barang kemas di Malaysia.
Menurutnya, program itu bermula dengan nama Seni Reka Logam Halus sebelum ditukar kepada Seni Reka Logam Kontemporari.
“Pada tahun 2023, kami menukar nama kepada Seni Reka Teknologi Barang Kemas selepas meneliti keperluan industri.
“Pihak industri telah mengemukakan permohonan agar nama program ini dikhususkan kepada produk barang kemas” katanya.
UiTM merupakan pertama dan dipercayai satu-satunya universiti awam yang menawarkan program dalam bidang Seni Reka Teknologi Barang Kemas pada peringkat ijazah.
Ini menjadikan UiTM berada di tahap lebih maju, bukan sahaja dalam aspek rekaan, malah penyelidikan, permintaan pasaran dan segmentasi dalam bidang ‘niche’ itu.
Dahulu, tumpuan lebih kepada melahirkan pereka barang kemas untuk industri.
Namun kini, pelajar bukan sekadar menjadi pereka, malah mereka juga mampu menjadi usahawan yang berkemahiran menghasilkan produk sendiri, membina jenama serta memberi impak kepada ekonomi.
Mengulas lanjut, Saadiah berkata, program itu memang unik kerana barisan tenaga pengajarnya terdiri daripada pakar industri.
“Kebanyakan pensyarah bidang ini merupakan pereka profesional daripada syarikat barang kemas terkemuka.
“Mereka mempunyai pengalaman dunia sebenar, dan bukan sekadar pandai teori.
“Selain itu, mereka mempraktikkan teknologi terkini yang digunakan oleh pemain industri semasa.
“Kebolehpasaran graduan untuk program ini juga adalah 100 peratus pada 2023.
“Graduan dalam bidang ini mempunyai peratusan tertinggi dengan purata gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 berbanding bidang lain, ” katanya.














