fbpx
Saifuddin Nasution ketika hadir pada Program Jelajah Wira Madani di IPD Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Kehilangan Amri, Raymond Koh, Saifuddin jumpa AGC esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) esok bagi mendapatkan taklimat lengkap berhubung kes kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan paderi, Raymond Koh.

Menurutnya, sebarang kenyataan lanjut berhubung isu tersebut hanya akan dimaklumkan secara terperinci setelah menerima gambaran secara lebih menyeluruh, sebelum tindakan susulan diambil pihaknya.

“Esok pagi saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai berkenaan dari AGC yang mengendalikan kes ini daripada awal.
“Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap dan gambaran menyeluruh kerana keputusan dan arahan khusus mahkamah adalah termasuk mengarahkan pasukan polis bagi memulakan siasatan.

“Tentang hala tuju siasatan untuk mengklasifikasikan sebagai kes apa sebagainya, itu setelah kita mendapat taklimat penuh,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Program Jelajah Wira Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd. Ariffin serta lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, memandangkan insiden itu berlaku pada tahun 2016 dan 2017, kes tersebut menjadi legasi yang diwarisi.

“Saya tentunya tak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan, lebih baik untuk saya terlebih dahulu mendapatkan taklimat lengkap. Untuk rakan-rakan media, saya akan memberikan perkembangannya dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN