fbpx
MOHD. ROSLAN (Gambar kecil) menegaskan agar isu berkaitan pelajar sekolah perlu ditangani dengan berhemah. - GAMBAR HIASAN

Kejayaan datang selepas adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan pelbagai laporan kejadian tidak dingini yang berlaku di sekolah melibatkan pelajar.

Kemuncaknya adalah insiden pembunuhan yang sedikit seba­nyak telah mencalarkan sistem pendidikan negara yang terbina sejak sekian lama.

Sebelumnya, kejadian tidak bermoral terjadi di dalam premis sekolah melibatkan pelajar-pelajar yang baru menginjak ke usia remaja. Ia menjadi bicara umum masyarakat sehinggakan ramai pihak menawarkan pendapatan dan tindakan segera yang perlu diambil untuk meningkatkan keselamatan di sekolah.

Apa yang terjadi ini adalah lambang kebejatan sosial yang serius dalam kalangan remaja yang mana ia perlu ditangani secara bersama. Segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan orang ramai perlu diambil kira bagi membantu menyelesaikan isu ini.

Tidak guna kita menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Umpamanya ada yang menyalahkan semata-mata ibu bapa ko­nonnya tidak mendidik anak dengan baik.

Ada juga yang menyalahkan institusi pendidikan dengan tuduhan gagal melahirkan pelajar yang bermoral. Lebih teruk lagi, ada yang terus menyalahkan Menteri.

Saya percaya, rakyat tidak menyokong apa juga komen negatif apatah lagi bersifat mengejek dan lain-lain. Ramai yang mahu tampil berkongsi punca, kaedah dan mencari jalan bagi menangani masalah ini.

Sepintas lalu, ini adalah rea­liti dalam masyarakat pada hari ini. Sebenarnya ia menunjukkan keprihatinan masyarakat agar isu ini dapat ditangani dan tidak menjadi lebih parah. Pasti­nya kita tidak bersetuju dengan tindakan menuding jari kepada sesiapa, lebih-lebih lagi dengan komen-komen di luar daripada batasan moral.

Tindakan proaktif dan cepat sebenarnya amat didambakan. Apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sudah tentu boleh membantu, namun ada baiknya ia sentiasa dikongsikan agar aspek keterlihatan tindakan yang dilakukan dapat diikuti pendekatannya oleh masyarakat.

Mencari penyelesaian

Mereka mahu lihat sesuatu dapat dilaksanakan segera sebagai tindakan pencegahan. Dalam masa yang sama, kita perlu juga melihat untuk mendapatkan input-input berguna dari pelbagai pihak.

Ini juga akan menjadi pendekatan strategik dengan meng­agihkan beban menangani isu ini dengan melibatkan pelbagai pihak-pihak lain yang berkepen­tingan.

Bahkan terdapat juga pihak-pihak yang secara sukarela bersedia untuk menawarkan diri bagi membantu pihak kemente­rian. Badan-badan bukan kerajaan umpamanya, persatuan-persa­tuan bekas pendidik, persatuan ibu bapa dan lain-lain turut boleh dilibatkan.

Ketika mencari solusi, pendekatan Islami tidak boleh dilupakan dalam usaha untuk mengangkat martabat pelajar dan karamah insan. Soal dosa dan pahala ada kalanya perlu di­terapkan dalam pendidikan.

Terdapat kebimbangan bahawa kebejatan moral dilihat bertambah apabila aspek-aspek ini tidak diberi perhatian. Soal pendidikan awal juga perlu dilihat bersama.

Ini termasuklah peranan dan kedudukan ibu bapa sebagai golongan yang memberikan pendidikan awal kepada anak-anak. Pendidikan awal inilah yang menjadi pemangkin kemenjadian anak-anak, selain daripada faktor kaedah pengajaran guru, kemudahan sekolah dan lain-lain.

Dalam hal ini, Islam memberikan penekanan terhadap pendidikan seawal usia kanak-kanak lagi. Panduan yang ada berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW menunjukkan keseriusan dalam soal pendidikan yang perlu diberi keutamaan.

Sabda baginda yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu dilahirkan dalam keadaan fitrah; kedua-dua ibu bapalah yang menjadikannya yahudi, majusi atau nasrani.” (Sahih Bukhari)

Tidak dinafikan ada lagi faktor-faktor lain untuk kejayaan seseorang. Ia juga perlu diberikan perhatian. Namun begitu, kita boleh juga kembali merujuk kepada pepatah yang sering dide­ngari yang menyatakan bahawa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.

Di peringkat sekolah pula, kewujudan persatuan ibu bapa seharusnya dilihat boleh membantu ke arah melancarkan pro­ses pendidikan bagi melahirkan generasi harapan bangsa.

Persatuan ibu bapa di atas apa nama sekalipun seperti PIBG, Muafakat dan lain-lain seharusnya menjadi pelengkap kepada pihak sekolah. Ia bukanlah bermaksud mereka diberi lesen untuk campur tangan dalam hal ehwal urusan pendidikan di sekolah.

Tidak perlu pun mencampuri urusan pengurusan tersebut. Apa yang boleh dilakukan adalah membantu dari aspek-aspek lain seperti penyediaan fasiliti bagi keselesaan pelajar, memberi motivasi dan sokongan dalam aktiviti ko-kurikulum dan seum­pamanya.

Masa depan

Ia amatlah membantu pihak sekolah dalam urusan pendidikan yang diterima oleh anak-anak. Satu perkara lagi, mungkin sudah sampai masanya kita melihat pendidikan ini bukan semata-mata dari aspek tarbiyyah (mendidik) atau ta’alim (memberi ilmu).

Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas memberikan panduan agar pendidikan itu turut menggunakan pendekatan ta’dib, iaitu memberi adab atau mendidik adab kepada para pelajar.

Tidak berguna bagi seseorang yang berpendidikan atau berpelajaran tanpa adab. Kehilangan adab inilah yang menyebabkan pelbagai masalah terjadi dalam masyarakat. Seseorang yang mempunyai ijazah umpamanya, belum tentu mempunyai adab sesama insan.

Kembali kepada isu yang terjadi di sekolah pada zaman kini, ia boleh memberi pemahanan kepada golongan pendidik agar menerapkan adab dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Di saat para pelajar ini me­nginjak usia remaja, mereka ke­biasaannya masih memberi perhatian terhadap nasihat daripada para guru. Justeru melahirkan pelajar yang baik dan beradab, selain daripada peranan penting ibu bapa, guru turut mempunyai pengaruh dalam pembentukan karakter mereka.

Marilah kita sama-sama membantu dalam menangani perkara yang berkaitan pendidikan anak-anak remaja ini.

Dengan harapan golongan ini dapat memahami realiti bahawa masyarakat meletakkan harapan yang tinggi pada bahu mereka untuk menjadi generasi pelapis negara pada masa hadapan.

Mereka yang akan mencorak­kan negara menjadi nadi dan tunjang masyarakat. Selaras dengan kata-kata: “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara; lihatlah generasi muda mereka pada hari ini.”

Keprihatinan kita terhadap generasi muda ini adalah berasas di atas kesedaran bersama untuk melihat negara ini terus membangun pada masa hadapan se­perti mana yang diusahakan oleh generasi hari ini.

Oleh yang demikian, haruslah kita ingat bahawa usaha mengekang isu sosial dan moral dalam kalangan pelajar sekolah adalah pemangkin kejayaan mereka di masa hadapan. -KOSMO! ONLINE

 

  • Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN