PORT DICKSON – Kemunculan seekor enggang yang dikongsikan pengguna media sosial di daerah ini semalam menjadi petanda kawasan hutan di negeri ini masih lagi sihat.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, spesies enggang oriental pied hornbill atau enggang kelingking itu memang ada di Semenanjung Malaysia.
“Bilangan spesies enggang lebih banyak di Semenanjung berbanding di Borneo.
“Selain itu, kesemua spesies enggang boleh dijumpai di Royal Belum, Perak. Di sini pula, masih banyak hutan simpan yang tebal dan kelibat enggang itu menandakan hutan kita masih sihat,” katanya.
Ujar Faizal Izham lagi, di kawasan Port Dickson, masih terdapat kawasan hutan lagi seperti di Pasir Panjang dan burung enggang tersebut boleh terbang jauh.
Bagaimanapun menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa tindakan yang boleh mengancam burung berkenaan kerana enggang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Terdapat 10 spesies burung enggang seperti kekek, badak, papan, gunung, buluh, bulu dan hutan. Ada antara spesies itu pupus dan berada dalam senarai merah.














