MUNICH – Kedudukan dua teratas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dijangka berubah menjelang pertemuan antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich di Parc des Princes awal pagi esok.
Dua pasukan yang memiliki rekod cukup baik dalam saingan liga domestik masing-masing itu akan membuat perhitungan bagi menentukan pasukan mana lebih layak untuk memimpin carta UCL.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany melaungkan amaran awal apabila mengakui sudah tidak sabar untuk bertemu PSG, lebih-lebih lagi mereka berada pada momentum terbaik selepas menang 15 perlawanan berturut-turut.
“Memang benar kami sudah menang 15 perlawanan berturut-turut, itu sangat baik tetapi kami mahu teruskan rentak tersebut kerana masih belum mencukupi. Saya tidak sabar untuk aksi bertemu PSG.
“Kami akan turun dengan semangat juang cukup tinggi bagi memastikan perlawanan itu berlangsung sengit. Saya jamin ia akan menjadi satu perlawanan dengan intensiti cukup tinggi, mungkin terbaik di Eropah,” katanya.
Pemain tengah Bayern, Joshua Kimmich mengambil pendekatan berhati-hati apabila menggesa rakan sepasukan supaya tidak terlalu selesa walaupun memiliki rekod cukup cemerlang musim ini.
“Dalam bola sepak, tidak ada gelaran yang dimenangi pada November, jadi kami perlu kekalkan momentum ini untuk tempoh jangka panjang. Kami juga tidak kisah siapa lawan kerana kami hanya mahukan kemenangan,” ujarnya. – AGENSI














