SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini saya ada terbaca laporan media memaklumkan zon aliran bebas di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis akan dilaksanakan semula tidak lama lagi.
Sebagai rakyat Perlis, saya memang menanti-nantikan saat itu yang mana ia mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini, terutama di Wang Kelian itu sendiri.
Saya sedih melihat suasana Wang Kelian yang sunyi sejak zon aliran bebas mula ditutup pada 1 April 2015.
Bila zon aliran bebas dilaksanakan, orang ramai boleh keluar masuk di sempadan Wang Kelian dalam jarak tertentu tanpa menggunakan pasport antarabangsa atau pas sempadan.
Dengan pelaksanaan zon aliran bebas itu, Wang Kelian akan meriah kembali dengan orang ramai terutama pelancong luar yang akan berpusu-pusu masuk ke kawasan tersebut.
Di samping itu, ia dapat membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.
Namun begitu, pihak berkuasa yang bertanggungjawab di sempadan perlu memastikan keselamatan di pintu antarabangsa tersebut terjamin.
Kita tidak mahu sindiket penyeludupan mengambil kesempatan daripada pelaksanaan zon aliran bebas ini untuk melancarkan kegiatan haram mereka itu.
Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meletakkan lebih ramai anggota pasukan keselamatan di sempadan Wang Kelian apabila zon aliran bebas itu dilaksanakan nanti.
Selain itu, kawalan keselamatan yang lebih canggih di sepanjang sempadan seperti penggunaan dron dan televisyen litar tertutup yang menggunakan teknologi tinggi juga dilihat sangat membantu dalam memperketatkan sempadan daripada anasir buruk.
Ramona
Kuala Perlis














