KUALA LUMPUR – Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini bakal menampilkan persembahan dua selebriti terkemuka tanah air iaitu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir.
Ketua Sekretariat Induk Logistik Asean 2025, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata, lebih 40 buah lagu akan dimainkan termasuk lagu negara-negara ASEAN sama ada secara nyanyian dan instrumental.
“Untuk malam ini, kita akan tampilkan satu acara yang terbaik dengan persembahan kebudayaan yang telah disusun atur oleh pihak Istana Budaya.
“Persembahan yang memaparkan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan etnik ini akan diselangselikan dengan nyanyian daripada selebriti jemputan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, antara lain elemen moden dan ciri-ciri ASEAN turut diketengahkan dalam acara tersebut dengan visual paparan melalui diod pemancar cahaya (LED).
“Apa yang kita nak tampilkan malam ni adalah imej dan hospitaliti Malaysia kepada tetamu-tetamu supaya mereka dapat satu memori yang indah sepanjang menghadiri persidangan ini,” jelasnya.
Katanya, majlis selama sejam bermula pukul 9 malam itu akan dimulakan dengan persembahan kebudayaan diikuti nyanyian selebriti jemputan dan ucaptama daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan, Makan Mala Gala berkenaan akan ditayangkan secara langsung menerusi siaran televisyen rasmi. – KOSMO! ONLINE














