KEMUNCULAN Sean Paul ke Malaysia sentiasa dinanti-nantikan, terutama pemuja tegar yang menjadi pengikutnya karyanya sejak awal era 2,000-an.
Rata-ratanya adalah penggemar muzik zaman milenial yang sangat sinonim dengan genre gabungan ‘dancehall’ dan hip-hop.
Mengadakan konsert berskala besar di Idea Live Arena baru-baru ini menerusi Sean Paul Live in Malaysia 2025, kehadiran lebih 5,000 penonton membuktikan penyanyi kelahiran Jamaica itu kekal relevan sehingga ke hari ini.
Sepanjang dua jam konsert, Paul memberi energi luar biasa mendendangkan hampir 20 buah lagu, antaranya I Get High, Baby Boy, Rockabye, Shake It To The Max dan No Lie.
Ibarat sebuah parti berskala mega, situasi sebegitu yang dapat disimpulkan untuk sepanjang konsert berlangsung.

Lagu yang paling ditunggu ramai pastinya Temperature yang diletakkan sebagai penutup acara. Meski lagu terakhir, Paul berjaya meledakkan euforia dalam kalangan penonton.
Sempat ditemu bual, bintang yang kali terakhir mengadakan persembahan di Malaysia pada 2018 itu mengakui rahsia kejayaannya bertahan lebih dua dekad bersandarkan usaha menyesuaikan muzik mengikut arus zaman tanpa mengenepikan identiti asal.
Paul juga enggan terperangkap dengan trend lama kerana berpendapat genre dancehall sentiasa menuntut kreativiti dan keberanian dalam bereksperimen.
“Setiap era mempunyai bunyi berbeza dan saya perlu cari cara untuk menyesuaikan muzik dengan trend global.
“Paling penting, perlu kekal dengan identiti ‘dancehall’ dan menyelitkan elemen Jamaica.
“Sebenarnya penyanyi genre ‘dancehall’ selalunya cepat bosan dengan bunyi yang sama disebabkan itu perlu sentiasa cuba cari gaya baharu supaya boleh diterima semua generasi,” katanya.
Mengulas tentang pengaruh media sosial terhadap industri muzik hari ini, Paul tidak menafikan platform digital banyak memainkan peranan penting dalam mencari idea baharu.
Katanya, media sosial juga menjadi ruang berinteraksi dengan peminat seluruh dunia.
“Dahulu perlukan media cetak dan elektronik tetapi dunia sekarang berbeza. Semuanya hanya dihujung jari dan bila-bila masa sahaja boleh luncurkan lagu.
“Tanpa sedar, persaingan dalam kalangan penyanyi juga semakin besar dan semua perlu keluarkan karya bagus untuk tarik pendengar.
“Di Jamaica, ramai artis muda berlumba-lumba mencari peluang. Sebab itu perlu bijak gunakan media sosial dan tahu bermain dengan ‘sistem’. Semuanya berevolusi,” jelasnya.
AI
Mengulas tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI), dia tidak menafikan wujud kebimbangan terhadap teknologi terkini tersebut AI yang mampu meniru gaya dan suara artis dalam masa singkat.
“Ramai juga penyanyi takut bila AI boleh tiru suara atau gaya tapi bagi saya teknologi itu hanya alat bantuan, bukan pengganti kreativiti.
“Saya gunakan AI secara kreatif. Dalam video muzik, saya perlu buat aksi bergantung dari helikopter dan AI boleh jadikannya realistik.
“Saya juga pernah guna AI untuk mencantikkan rentak muzik dan AI hasilkan ribuan versi, namun saya cuma ambil beberapa bahagian yang sedap. Apa pun, saya masih tak akan biar AI buat sepenuhnya, kreativiti tetap datang daripada manusia,” tuturnya.














