fbpx
REDZUAN menggunakan tikus untuk mengkaji kesan mikroplastik terhadap perkembangan fetus haiwan itu.

Tertelan mikroplastik melalui makanan laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kesihatan rakyat Malaysia semakin terancam apabila setiap hari tubuh kita mene­lan hampir setengah gram mikroplastik tanpa sedar menerusi pengambilan makanan laut se­perti ikan yang tercemar.

Bahan halus plastik yang sukar dilihat itu akan perlahan-lahan ‘meresap’ ke dalam sistem badan sehingga menyebabkan kanser, penyakit kardiovaskular, mengganggu horman dan keradangan paru-paru.

Berdasarkan kajian Cornell University 2024, lebih daripada 60 peratus ikan yang ditangkap untuk uji kaji mengandungi mikroplastik dalam sistem pencernaan.

Timbalan Pengarah Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being (PLANETIIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Redzuan Nul Hakim Abdul Razak berkata, berdasarkan kajian itu, secara puratanya, rakyat negara ini juga termakan 0.5 gram mikroplastik sehari, yang sebahagian besar daripada makanan laut.

Ini kerana katanya, Malaysia turut berada dalam kalangan negara yang tinggi pendedahan mikroplastik.

“Masalah ini sering dikaitkan dengan pembangunan pesat, penggunaan plastik yang meluas serta pengurusan sisa plastik yang kurang efisien.

“Ia memberi kesan besar kepada hidupan laut terutamanya spesies yang terancam yang mana zarah plastik kecil itu se­ring disangka makanan oleh ikan, penyu, burung laut dan mamalia marin.

“Apabila ikan atau hidupan laut lain menelan plastik, ia boleh terkumpul dalam perut sebelum ditangkap oleh manusia dan kemudian dimakan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, hidupan laut yang termakan mikroplastik juga sering ditemukan mati dengan kerosakan organ.

“Burung laut dan penyu juga sering ditemui dengan perut penuh plastik, yang menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini terhadap populasi hidupan marin.

“Lebih mengejutkan, mikroplastik yang ada dalam lautan akhirnya kembali kepada manusia apabila makanan laut, yang menjadi sumber utama banyak negara, termasuk Malaysia, kini tercemar mikroplastik,” katanya.

Menurutnya, kajian juga mendapati 98.9 peratus sampel makanan laut yang diuji pula mengandungi mikroplastik, menjadikannya hampir mustahil untuk mengelakkan plastik dalam diet manusia.

Katanya, pendedahan kepada mikroplastik mempunyai kesan yang membimbangkan terhadap kesihatan manusia.

“Mikroplastik boleh menyebabkan kerosakan sistem imun, keradangan paru-paru dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular serta kanser paru-paru.

“Mikroplastik juga membawa bahan kimia berbahaya seperti Bisfenol A (BPA) dan ftalat, yang dikenali sebagai pengganggu ­hormon.

“Kajian mendapati BPA dan ftalat, bahan kimia dalam mikroplastik, boleh mengganggu kesuburan lelaki dan wanita,” ­katanya.

Menurutnya, daripada aspek kesuburan, lelaki yang terdedah kepada mikroplastik be­risiko mengalami penurunan kualiti sperma, manakala wanita berisiko mengalami gangguan pengeluaran telur.

Katanya, pendedahan mikroplastik pada wanita hamil juga berisiko menyebabkan gangguan perkembangan janin, serta meningkatkan kemungkinan kecacatan kelahiran dan masalah perkembangan otak pada bayi.

“Selain itu, pendedahan mikro­plastik sejak usia dalam kan­dungan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan generasi akan datang.

“Anak-anak yang terdedah kepada mikroplastik berisiko menghadapi masalah metabolik seperti obesiti dan diabetes, serta gangguan neurologi yang berlanjutan sepanjang hayat,” ­katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN