Oleh PROF. NURUL AZMAWATI MOHAMED dan PROF. MADYA DR. MOHD DZULKHAIRI MOHD RANI
GELOMBANG influenza yang kini melanda Malaysia sangat membimbangkan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah berasrama.
Ia bukan penyakit baharu tetapi penularannya sangat pantas menjangkiti ribuan pelajar.
Pihak pengurusan mengambil tindakan pencegahan dengan menutup banyak sekolah berasrama. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan mendadak kes influenza sejak September lalu.
Lebih 6,000 orang pelajar dilaporkan dijangkiti di seluruh negara.
Sekolah berasrama dengan persekitaran tertutup dan kepadatan pelajar tinggi menjadi antara lokasi paling terkesan dengan wabak ini.
Bagi ibu bapa, perasaan cemas bukan kerana anak mengalami gejala demam dan batuk. Perasaan ini datang bersama keresahan yang lebih mendalam iaitu ketidakpastian.
Masih ramai yang beranggapan bahawa influenza hanyalah selesema bermusim yang tidak begitu bahaya. Persepsi ini perlu diperbetulkan. Virus influenza boleh menyebabkan jangkitan paru-paru, keradangan otak dan kematian terutama dalam kalangan golongan rentan iaitu kanak-kanak, warga emas serta individu dengan penyakit kronik.
Di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, vaksin influenza dianggap sebahagian daripada tanggungjawab kesihatan awam. Berbeza dengan vaksin Covid-19, vaksin influenza perlu diambil setiap tahun kerana strain virus sentiasa berubah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memantau mutasi ini dan menyediakan formulasi terkini kepada pengeluar vaksin bagi memastikan perlindungan terhadap strain semasa.
Syukur, kerajaan kini telah mula memperkenalkan pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas yang mempunyai komorbiditi, satu langkah awal yang wajar diperluaskan kepada kumpulan berisiko lain.
Namun dalam masyarakat, pendekatan pencegahan masih banyak bergantung kepada amalan asas seperti pemakaian pelitup muka dan pengambilan suplemen.
Sudah tiba masanya kita memperkukuhkan langkah ini dengan strategi yang lebih menyeluruh, berterusan dan lestari.
Seperti vaksin Covid-19 yang berjaya diterima sebagai norma baharu, pengambilan vaksin influenza juga wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada amalan kesihatan tahunan.
Usaha pencegahan yang konsisten bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan tetapi membantu mengelakkan gangguan pembelajaran di sekolah serta melindungi golongan berisiko tinggi.

Penutupan sementara sekolah berasrama bukan sahaja menjejaskan akademik, malah menimbulkan kesan sosial dan psikologi yang besar. Pelajar yang tinggal di asrama biasanya datang dari pelbagai negeri.
Penutupan mendadak akan memberi kesan terhadap logistik, pengurusan ibu bapa serta motivasi pelajar.
Wabak ini seharusya menjadi pemangkin untuk kita menilai semula apa yang dimaksudkan dengan ‘sekolah sihat’.
Sihat bukan sekadar tidak berpenyakit, ia tentang keseimbangan antara fizikal, mental dan sosial.
Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita menekankan aspek kesihatan awam sebagai komponen penting dalam budaya sekolah, bukan hanya semasa krisis.
Saringan kesihatan berkala, kebersihan asrama, pengudaraan baik dan kesedaran kebersihan diri pelajar perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan.
Di Jepun dan Taiwan, memakai pelitup muka apabila bergejala dianggap sebagai tanda hormat kepada orang di sekeliling.
Di negara kita, amalan sebegini seharusnya menjadi cerminan nilai ihsan dan empati, dua prinsip penting dalam budaya, adat resam dan agama kita.
Namun untuk mencapai tahap itu, amalan kesihatan perlu dilatih, dibiasakan dan ditanam sebagai budaya rutin, bukan hanya dilakukan ketika wabak melanda.
Amalan mencuci tangan dengan sabun sebelum makan, selepas menggunakan tandas atau selepas menyentuh permukaan awam perlu menjadi refleks semula jadi, sama seperti menutup pintu atau mengucap salam.
Untuk membudayakan kesihatan, kita perlu mengubahnya daripada pesanan kesihatan menjadi gaya hidup sosial.
Peranan ini bukan hanya milik kerajaan atau sekolah, tetapi juga keluarga dan komuniti.
Setiap rumah, pejabat dan sekolah boleh menjadi ruang latihan kecil untuk membentuk budaya sihat.
Di sini, nilai-nilai kebersihan, empati dan rasa tanggungjawab dibentuk untuk menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat kita.
Pandemik Covid-19 pernah mengajar kita erti solidariti dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard.
Namun, apabila keadaan kembali ‘normal’, kesedaran itu kian pudar. Influenza kini menguji sama ada kita benar-benar matang sebagai masyarakat yang pernah melalui situasi pandemik.
Apabila seorang pelajar jatuh sakit, ia bukan hanya tanggungjawab sekolah untuk bertindak. Ia tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak tidak dihantar ke sekolah dalam keadaan tidak sihat.
Selain itu, tanggungjawab komuniti adalah untuk menjaga kebersihan persekitaran.
Media pula melakukan tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang tepat, bukan menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
Secara amnya, ia adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadikan pencegahan sebagai amalan, bukan tindakan sementara.
Setiap krisis kesihatan membuka peluang untuk memperbaiki sistem. Malaysia mempunyai tenaga pakar, makmal berkeupayaan tinggi dan masyarakat yang prihatin.
Namun, semua ini hanya bermakna jika digerakkan secara bersepadu.
Sektor pendidikan perlu bekerjasama rapat dengan sektor kesihatan untuk melaksanakan pemantauan wabak di sekolah, latihan kepada guru tentang pengurusan kesihatan pelajar dan garis panduan yang lebih jelas bagi pencegahan.
Kesedaran awam perlu dibina bukan melalui slogan sementara, tetapi melalui budaya kesihatan yang lestari. Kesihatan awam tidak bermula di hospital, sebaliknya di rumah, sekolah dan dalam komuniti.















