fbpx
Permukaan air yang berombak akibat angin menyukarkan kami melihat ‘frenzy’ kumpulan sebarau.

Fenomena musim kering di Empangan Bang Lang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Empangan Bang Lang yang terletak di Selatan Thailand ini sebenarnya tidak mempunyai musim kemarau yang jelas kerana iklimnya panas dan lembab sepanjang tahun, sama seperti negara kita.

Namun rupa-rupanya, ada musim yang hari-harinya lebih panas, dan biasa tempohnya singkat tetapi memberi kesan ketara pada paras air di empangan ini.

Alangkah terkejutnya kami setibanya di Empangan Bang Lang pada pagi hari pertama apabila melihat keadaan paras air yang sangat rendah sehinggakan kawasan jeti hanya kelihatan lopak-lopak air.

Kebanyakan tempat jelas kelihatan rupa dasar dan pangkal pokok mati.

Sebaik sahaja barang-barang dipunggah ke dalam bot, sesi pan­cingan bermula. Kami seramai 14 orang menggunakan tujuh buah bot dengan setiap bot menempatkan dua orang pemancing.

Rakan-rakan lain ada yang sudah menuju ke kawasan utama empangan, manakala saya hanya melakukan pancingan di bawah jambatan.

Tukar taktik
Seperti biasa, kami menggunakan gewang permukaan seperti pencil dan popper kerana kelihatan kelompok ikan sebarau mengejar anak-anak ikan.

Namun, kami hanya menerima satu sambaran dan ikan terlucut pula ketika hampir dengan bot.

Tekong Broheng tukar gewang kepada jenis bilah besi (blade) dan melemparkannya ke arah kawanan ikan sebarau itu. Paras air di kawasan tersebut hanya berkedalaman 10 kaki. Beberapa percubaan kemudian, dia mendapat tangkapan pertama kami.

Tanpa berlengah, kami juga tukar kepada blade, dan hasilnya selama dua jam di situ kami berjaya mendaratkan 10 ekor sebarau serta seekor baung.

Menjelang tengah hari, kami menuju ke tempat penginapan di pontun Ayub untuk makan dan berehat.

Puas hati apabila berjaya mengilat sebarau saiz begini.

Sepanjang perjalanan kelihatan banyak pokok dan kawasan berbukit seperti pulau di tengah tasik. Ketika paras air normal, semua ini langsung tidak kelihatan.

Keadaan cuaca sepanjang kami berada di sini sangat panas dan terik. Mujur sentiasa ada angin bertiup sepanjang hari, namun permukaan air yang berombak akibat angin menyukarkan pencarian sebarau.

Oleh kerana keadaan cuaca yang sedemikian, kami sepakat untuk keluar agak lewat pada petang itu. Keputusan mengilat agak hambar kepada yang menggunakan gewang-gewang topwater, mungkin kerana kelibat sebarau ‘frenzy’ juga sukar kelihatan.

Lubuk-lubuk yang biasa ada sebarau juga kurang membuahkan hasil.

Rata-rata kedalaman air di lubuk-lubuk ini hanyalah antara lima hingga 10 kaki dalam.

Ubah strategi
Hari kedua menyaksikan pagi-pagi lagi keadaan empangan sudah berangin kuat.

Ini sudah kami jangkakan dan bakal menyukarkan lagi sesi mengilat.

Lantas, kami menukar strategi untuk memancing di sekitar kawasan pokok-pokok mati yang kelihatan. Menggunakan gewang blade, kami mula mengaplikasikan teknik ‘mengorek’ sebarau.

Kami mencari saiz pokok mati yang lebih besar daripada pokok-pokok mati sekitarnya.

Menurut tekong, kumpulan se­barau lebih gemar memilih struktur sebegini sebagai kubu serang hendapnya.

Sebaiknya untuk teknik ini, mata tiga blade wajib ditukar kepada mata tunggal untuk meminimumkan kadar ia tersangkut di reba.

Cara ‘mengorek’ sebarau mudah sahaja, kami melempar blade antara tiga hingga empat kaki di perimeter sekitar pokok mati tersebut, dan membiarkan ia tenggelam hingga ke dasar.

Sebaik sahaja blade dirasakan sudah mencecah dasar, ia akan terus dikarau melepasi pokok tersebut.

Selalunya jika kawasan itu berpenghuni, blade akan terus disergap ikan.

Jika sebarau agak culas untuk menyambar, kami biasanya akan mengubah kelajuan karauan blade, sama ada lagi perlahan atau semakin laju untuk merangsang nafsu makannya.

Ternyata teknik ini berhasil apabila kami mula mendapatkan tangkapan demi tangkapan sehinggalah tiada lagi sebarau yang sudi.

Setelah beberapa percubaan yang negatif, kami terus berpindah ke pokok mati lain pula.

Ada juga antara kami yang menggunakan gewang selaman dalam berbentuk ikan dan berjaya memperolehi tangkapan.

Akan tetapi, teknik ‘mengorek’ ini lebih efektif dengan gewang seperti blade kerana ia dapat tenggelam rapat terus ke pangkal pokok mati, di tempat sebenar sebarau berlegar.

Pada lawatan kami kali ini, kawasan seperti kuala sungai dan air terjun langsung tidak dapat diakses kerana air terlalu rendah untuk bot menyampaikannya.

Salah satu lagi punca ikan kurang aktif ketika ini adalah kerana bulan September merupakan musim ikan sebarau naik bertelur di hulu sungai-sungai yang masuk ke empangan.

Ikan todak air tawar atau lebih dikenali dengan nama tempatan ‘pla bin’ yang menjadi makanan utama ikan sebarau di empangan ini sangat kurang kelihatan menyebabkan kumpulan sebarau juga tidak berkumpul seperti kebiasaannya.

Dalam keadaan yang sukar ini, kami tetap berjaya menaikkan lebih kurang 50 ekor sebarau untuk tiga hari trip. Banyak yang kami lepaskan semula untuk menjamin kelestarian populasi ikan sebarau di sini.

Rata-rata kami berpuas hati dengan hasil tangkapan yang diperolehi.

Paling penting pengalaman yang dilalui amat berharga kepada kami untuk dijadikan panduan pemburuan sebarau di masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN