fbpx
GAMBAR HIASAN

‘Sarjan Zuraidi’ kebas duit pencen pesara RM308,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Gara-gara panik dan takut diambil tindakan dituduh terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan, seorang pesara terpaksa menelan kepahitan apabila wang pencennya berjumlah RM308,000 lesap dikebas scammer.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila lelaki berusia 69 tahun menerima panggilan telefon daripada sindiket ‘phone scam’ pada 3 Jun lalu.

Katanya, pemanggil itu memperkenalkan dirinya ‘Sarjan Zuraidi’ sebagai anggota polis dari IPD Petaling Jaya dan mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti jenayah berkenaan.

“Mangsa kemudiannya menerima satu lagi panggilan telefon daripada nombor telefon berbeza mendakwa dari pejabat mahkamah telah mengarahkan mangsa membuat bayaran bagi mengelakkan hukuman penjara.

“Akibat ketakutan mangsa menuruti arahan suspek dan membuat 44 transaksi pemindahan wang antara 30 Jun hingga 9 Oktober lalu, berjumlah RM308,000 ke empat akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, mangsa ada membuat semakan awal terhadap keempat-empat akaun bank terbabit dan mendapati ia tidak mempunyai rekod penipuan telefon.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas terus diarahkan membuat pemindahan tambahan dan mula berasa curiga terhadap panggilan diterima,” katanya.

Menurut Raub, polis sedang membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan menjejaki individu yang terlibat dalam kegiatan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI