MEMBELI-BELAH secara dalam talian kini sudah menjadi sebahagian dalam hidup terutama buat golongan wanita.
Bukan sekadar menawarkan harga yang berpatutan, kualiti barangan juga semakin terjamin menjadikan orang ramai lebih percaya untuk berbelanja di platform e-dagang.
Dunia e-dagang terutama buat golongan wanita kini menyaksikan fenomena baharu apabila platform Syurga Wanita mencatat kejayaan luar biasa dengan meraih 100,000 pelanggan aktif hanya dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya.
Didorong oleh semangat memperkasa wanita dan menyokong usahawan tempatan, kejayaan ini menandakan era baharu untuk jenama tempatan yang berpaksikan keperluan, kecantikan dan gaya hidup wanita moden.
Menurut pengasas Syurga Wanita, Enica, platform ini bukan sekadar sebuah laman beli-belah dalam talian tetapi dibina sebagai ekosistem sokongan komprehensif yang menghimpunkan pelbagai jenama tempatan di bawah satu bumbung digital.
“Platform ini menawarkan ratusan produk daripada kategori kecantikan, fesyen, kesihatan dan gaya hidup. Semuanya direka untuk memenuhi cita rasa wanita masa kini yang mahukan kemudahan, kualiti dan gaya dalam satu sentuhan.
“Ia juga diwujudkan khas untuk wanita membeli-belah dengan mudah dan selamat dalam satu tempat. Kami juga membuka peluang kepada ramai usahawan tempatan untuk berkembang bersama kami,” jelas Enica pada majlis hi-tea meraikan pelanggan dan rakan niaga Syurga Wanita di Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam tempoh singkat, Syurga Wanita turut menarik lebih 1,000 Key Opinion Leader (KOL) serta selebriti tempatan untuk mempromosikan produk di platform ini, membuka ruang pendapatan baharu kepada komuniti digital.
Antara personaliti terkenal yang kini bernaung di bawah platform ini termasuk Datuk Seri Alha Alfa, Shanell Harun dan Adira Suhaimi.
Menariknya, Adira bukan sekadar wajah promosi tetapi selebriti itu turut melancarkan dua koleksi minyak wangi edisi khas, Flora Syurga dan Aura Wanita yang hanya boleh didapati secara eksklusif di platform ini.

Dalam konteks operasi laman web, Enica memberitahu, pihaknya telah mempersiapkan pasukan khas (back-end) untuk memastikan kelancaran penggunaan dan pengalaman pelanggan.
Katanya lagi, pasukan ini terdiri daripada pakar teknologi yang akan memastikan segala isu dapat diselesaikan dalam masa singkat.
“Pasukan kami sentiasa bersedia untuk memastikan pengguna tidak berdepan masalah sepanjang menggunakan laman web ini.
“Kita juga memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan dan memperbaiki masalah laman web dapat dilaksanakan dengan lebih pantas,” ujarnya.
Kejayaan platform ini juga dilihat melalui perancangan jangka panjangnya yang kukuh. Menjelang 2026, ia menyasarkan untuk menghimpunkan 100 jenama eksklusif wanita dan mencapai satu juta pelanggan aktif.
Selain menembusi pasaran tempatan, Syurga Wanita kini telah meluaskan capaian ke China, Hong Kong dan Indonesia, membuktikan potensi global jenama ini.
Lebih daripada sekadar laman e-dagang, Syurga Wanita turut mengukuhkan komuniti pelanggannya melalui aktiviti seperti peraduan ‘Wanita Bergaya 2025’, program ganjaran seperti eWallet Rewards, cabutan bertuah serta peluang Purchase with Purchase yang menawarkan hadiah menarik termasuk barangan elektronik dan tiket penerbangan.
Selain itu, Syurga Wanita juga bakal dibangunkan dalam bentuk aplikasi bagi memastikan capaian lebih ramai pengguna di dalam dan luar negara.














