SUBANG JAYA – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan anggota berkenaan, Mohd. Fadhil Mohamed @ Ahadiah, 40, kira-kira pukul 9.15 malam, Khamis lalu.
“Siasatan awal mendapati, Mohd. Fadhil kali terakhir berada di rumahnya di alamat No. E-07-10, Kuarters IPD Subang Jaya, Jalan USJ 8, 47610 Subang Jaya pada Rabu lalu.
“Beliau dilaporkan keluar dari rumah dengan memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam bernombor pendaftaran WC 8024 K dan tidak pulang sejak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, mangsa berketurunan Melayu, mempunyai ketinggian 167 sentimeter, berat 85 kilogram, berkulit coklat, berambut pendek, berhidung lebar, bermata sepet dan bermulut tebal.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 / 03-7862 7100.
“Mereka juga boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Suhaimi Ibrahim di talian 019-830 1476 bagi membantu siasatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE