fbpx
Penulis terpukau melihat keindahan pemandangan indah di Daocheng Yading, China.

Keindahan Daocheng Yading ‘bumi terakhir tak terusik’ China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA Dolomites di Itali terasa terlalu jauh, mungkin sudah tiba masanya menoleh ke Timur iaitu Sichuan di barat China yang menyimpan permata tersembunyi dikenali sebagai Daocheng Yading.

Terletak pada ketinggian lebih 4,000 meter dari aras laut, Daocheng Yading sering digelar ‘The Last Shangri La’ dan ‘China’s Last Pure Land on Earth’ kerana keindahannya yang masih asli dan belum terusik oleh pembangunan.

Penulis berada di persekitaran semula jadi Daocheng Yading, Sichuan selama tujuh hari pada musim panas melalui pakej pelancongan anjuran agensi Travel Mudah.

Dari ibu kota Sichuan itu, penerbangan singkat membawa penulis ke Daocheng Yading Airport iaitu lapangan terbang tertinggi di dunia.

Dari sana, perjalanan darat sekitar dua jam melalui laluan berliku dan dataran tinggi membawa saya ke perkampungan Riwa iaitu pintu masuk utama ke kawasan perlindungan semula jadi Daocheng Yading.

Daocheng Yading bukan sekadar cantik, malah memukau. Dikelilingi tiga gunung suci, Chenrezig, Jampayang dan Chanadorje, kawasan ini bagaikan dunia yang terpisah dari masa.

Kabus nipis berlegar di puncak, bendera doa Tibet berkibar lembut dan udara tipis gunung membuat setiap nafas terasa berharga.

Selama tujuh hari di sini, saya menghabiskan masa menikmati setiap penjuru Daocheng Yading.

Ada hari saya mendaki ke Milk Lake dan Five Color Lake yang terletak di kawasan tinggi, di mana airnya berkilau seperti kaca cair, memantul warna langit serta bayangan gunung salji.

Ada hari saya hanya berjalan santai di lembah, memerhati padang rumput yang luas dan bunga liar mekar di bawah cahaya matahari musim panas.

Musim panas di Daocheng Yading tidak terlalu dingin, sekitar 12 hingga 20 darjah Celsius pada siang hari.

Penulis bergambar berlatarbelakangkan White Pagoda di Daocheng Yading.

Udara gunung yang segar membuatkan setiap langkah terasa berbaloi, walaupun perjalanan mendaki agak mencabar.

Pada waktu malam, suhu menurun dan langit yang cerah membenarkan bintang bersinar begitu dekat seolah-olah boleh digapai tangan.

Saya teringat Dolomites yang sering menghiasi media sosial dengan gambar gunung bersalji dan lembah hijau memukau.

Namun, di Daocheng Yading, saya temui keindahan serupa, bahkan mungkin lebih mengagumkan.

Bezanya di sini tiada deretan pelancong berswafoto atau kafe moden di setiap penjuru jalan. Yang ada hanyalah keheningan, deru angin dari gunung dan suara alam yang menenangkan.

Daocheng Yading masih kekal asli dan belum dikomersialkan sepenuhnya. Ini memberi ruang kepada pelawat untuk merasai ketenangan alam yang murni dan jujur. Cahaya matahari yang berubah menjadikan landskap di sini seperti hidup kerana warnanya bertukar pada setiap pandangan.

Bagi jurugambar, setiap sudutnya seperti bahan latar untuk karya baharu, manakala bagi pengembara, tempat ini mengajar erti diam sebenar.

Suasana spiritual di Daocheng Yading amat kuat. Bendera doa berkibar lembut di lereng, manik tasbih berputar di jari pejalan kaki dan senyuman damai terpancar pada wajah penduduk tempatan.

Ada sesuatu yang sukar dijelaskan, seolah-olah masa di sini berjalan lebih perlahan dan hati manusia turut menjadi lebih tenang. Dalam udara yang nipis dan sejuk, minuman terasa seperti pelukan kecil dari dunia asing tetapi penuh mesra.

James Hilton pernah menulis tentang Shangri La dalam novelnya, Lost Horizon yang diterbitkan pada tahun 1933.

Ia menggambarkan tempat abadi di Banjaran Himalaya yang damai dan terpelihara daripada kerosakan dunia.

Ramai pembaca percaya, kisah itu diinspirasikan dari wilayah sekitar Daocheng Yading. Setelah menjejakkan kaki di sini, saya mula faham sebabnya.

Di Daocheng Yading, dunia terasa jauh. Tiada bunyi telefon, tiada notifikasi media sosial, hanya bunyi angin yang menyapa salji dan derap langkah di laluan berbatu.

Dalam keheningan itu, saya sedar bahawa untuk mencari ketenangan, kita tidak semestinya perlu ke Eropah atau mengejar nama besar dunia.

Cukup berpaling sedikit ke arah Timur, dan kita akan menemui syurga yang nyata di bumi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN