fbpx
Hon Wai (kiri) mengadakan pertemuan dengan Arasu bagi membincangkan prospek pertumbuhan pelancongan Pulau Pinang bersama Batik Air.

Penerbangan terus Batik Air dari Medan, Singapura ke P. Pinang Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Syarikat penerbangan, Batik Air bakal melancarkan dua laluan terus baharu dari Medan dan Singapura ke Pulau Pinang bermula 8 Disember ini.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Jualan Batik Air, S. Arasu bagi membincangkan hala tuju strategik serta rancangan pembangunan laluan baharu syarikat penerbangan berkenaan.

Katanya, pertemuan itu turut menyentuh prospek pertumbuhan pelancongan Pulau Pinang dan potensi kerjasama antara kerajaan negeri serta syarikat penerbangan bagi memperkukuh hubungan udara antarabangsa.

“Batik Air telah memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai pelancaran dua laluan terus baharu iaitu Medan-Pulau Pinang dan Singapura-Pulau Pinang bermula 8 Disember 2025.

“Inisiatif ini akan menambah pilihan penerbangan ke Pulau Pinang serta meningkatkan kehadiran pelancong asing,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hon Wai, laluan Medan-Pulau Pinang akan beroperasi setiap hari dengan tujuh penerbangan seminggu.

Katanya, penerbangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 5.45 petang waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (KNO) pada pukul 5.45 petang waktu Medan.

“Penerbangan dari Medan pula dijadual berlepas pada pukul 6.45 petang dan tiba di Pulau Pinang pada pukul 8.40 malam,” katanya.

Sementara itu, katanya, laluan Singapura-Pulau Pinang turut beroperasi setiap hari dengan penerbangan dari Pulau Pinang berlepas pada pukul 8.20 pagi dan tiba di Singapura pada pukul 9.45 pagi.

Beliau berkata, penerbangan pulang dari Singapura pula akan berlepas pada pukul 3.20 petang dan tiba di Pulau Pinang pada pukul 4.45 petang, sekali gus menawarkan jadual yang fleksibel untuk pelancong dan pengembara perniagaan.

Selain laluan antarabangsa, katanya, Batik Air turut merancang memperluas rangkaian domestik pada tahun hadapan dengan memperkenalkan laluan terus Kota Kinabalu-Pulau Pinang dan Kuching-Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI