fbpx
Antara gambar yang dikongsi bapa mangsa memaparkan keadaan mangsa yang didakwa dipijak oleh murid darjah tiga sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

‘Mereka pijak ‘berjemaah’, anak saya trauma ke sekolah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bapa kepada murid lelaki tahun satu mengakui anaknya tidak mahu ke sekolah susulan masih trauma selepas dipercayai dibuli oleh senior darjah tiga di sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini, kelmarin.

Menurut bapa mangsa, Ghadaffi Zainudin, 47, keadaan fizikal anaknya berada dalam keadaan baik dan telah pun dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di Hospital Shah Alam semalam.

“Cuma anak kata dia tak mahu pergi sekolah, masih trauma katanya dengan kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ghadaffi berkata, dia dan isteri sedang menguruskan proses pengecaman pelajar senior yang dikatakan telah memijak anak­nya berkali-kali di bahagian perut, dada dan kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis telah membuka kertas siasatan membabitkan murid tahun satu yang didakwa dipukul dua pelajar tahun tiga ketika waktu rehat persekolahan kira-kira pukul 3 petang.

Menurutnya, pihaknya mene­rima laporan daripada ibu mang­sa pada pukul 9.51 malam, kelmarin berhubung insiden berkenaan.

“Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kini dirawat di Hospital Shah Alam dan ­dilaporkan berada dalam keada­an stabil.

“Bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang murid berusia tujuh tahun mendakwa dirinya dipijak berkali-kali dibahagian perut, dada dan kaki selain baju diconteng dan mulut ditekup oleh tiga senior berusia sembilan tahun.

Mangsa yang berusia tujuh tahun juga mendakwa diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN