KUALA LUMPUR – “Saya sudah merotan ramai pelajar. Tidak pernah ada pelajar atau ibu bapa mengambil tindakan terhadap saya”
Demikian pengakuan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) ketika mencadangkan supaya hukuman rotan di sekolah dikembalikan.
Menurutnya, beliau merotan pelajar semasa berkhidmat kira-kira 30 tahun sebagai guru termasuk guru disiplin.
Jelasnya, hukuman rotan bukan bertujuan mendera, tetapi membina disiplin serta membendung masalah membabitkan akhlak dan moral pelajar.
“Sewaktu saya jadi guru disiplin bermula tahun 1987 sehinggalah saya bersara, hukuman rotan dijalankan dalam bilik pengetua.
“Tindakan rotan dengan cara berhikmah iaitu sebelum kita merotan, kita jelaskan dan berikan kaunseling kepada pelajar terlibat supaya mereka sedar kesalahan dilakukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Aminolhuda berkata, kerajaan tidak boleh menutup mata terhadap krisis yang sedang melanda termasuk kes buli, rogol dan bunuh membabitkan pelajar.
Katanya, pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata, tetapi berkait pembentukan akhlak, sahsiah dan disiplin manusia.
“Sekolah mesti kembali menjadi tempat membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan pelajar yang pandai menjawab soalan peperiksaan,” katanya.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) pula meminta kerajaan bertegas dengan dasar ‘You Touch, You Go’
Katanya, siasatan dan pendakwaan perlu dilakukan dengan segera bagi menunjukkan ketegasan bahawa buli tidak akan ditoleransi. – KOSMO! ONLINE