fbpx
Antara kenderaan dan van yang disita dalam Operasi Prebet Sapu di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gempur lokasi tumpuan elak prebet sapu ‘membiak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelanco­ngan Bumiputera Malaysia (Bumitra) mencadangkan agar garis panduan lebih ketat diperkenalkan pihak berkuasa bagi mengekang pakej pengangkutan haram atau ‘prebet sapu’ termasuk yang dijalankan oleh warga asing.

Presidennya, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, ini termasuk mewajibkan setiap van pelancong mempamerkan pelekat pengesahan, nombor lesen dan kod identifikasi khas yang sukar ditiru bagi mengelakkan penyamaran pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu katanya,pengenalan sistem Kod QR Van Pelancong Sah juga boleh dipertimbangkan bagi membolehkan penumpang menyemak kesahihan kenderaan yang mereka gunakan.

“Saluran aduan awam yang lebih mudah diakses seperti me­lalui telefon, aplikasi mudah alih atau laman web juga perlu disediakan bagi membolehkan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti van mencurigakan.

“Kami harap kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dan industri dapat memperkukuhkan semula kepercayaan pelancong terhadap keselamatan dan profesionalisme sektor pelancongan negara,” katanya ketika dihu­bungi Kosmo! di sini semalam.

Baru-baru ini, Jabatan ­Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan warga asing yang menawarkan pakej haram termasuk perkhidmatan ­pengangkutan dan penginapan de­ngan menahan 10 kenderaan pelbagai jenis dalam Operasi Fokus (Prebet Sapu) di sekitar Bukit Bintang, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

Situasi itu boleh menjejaskan industri pelancongan negara ke­rana taktik licik segelintir pihak menyamar sebagai van pelancong bagi menjalankan kegiatan ‘prebet sapu’ bukan sahaja satu bentuk penipuan, malah memberi kesan terhadap keselamatan pelancong dan kepercayaan terhadap sistem pengangkutan tempatan.

Menurutnya, ‘prebet sapu’ yang tidak memiliki lesen sah untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam atau pelancongan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 33(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.

“Kesalahan itu memperun­tukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum setahun.

“Ada pemandu yang menukar warna kenderaan tanpa memaklumkan kepada JPJ dalam masa tujuh hari seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 12(2) akta sama bagi mengaburi identiti.

“Tindakan itu mengelirukan pelancong yang sukar membezakan antara van pelancong sah dan kenderaan tidak berlesen, sekali gus menjejaskan etika serta profesionalisme industri.

“Ia juga menimbulkan persaingan tidak sihat kerana ­pengendali sah perlu menanggung kos lesen, penyelenggaraan, insurans dan pematuhan undang-undang, manakala ‘prebet sapu’ tidak terikat dengan beban tersebut dan boleh menawarkan harga lebih murah kepada pelanggan,” ujarnya.

Sebagai langkah penyelesaian segera, Bumitra mencadangkan agar operasi penguatkuasaan dilakukan secara berkala melibatkan JPJ, polis dan agensi pelancongan di lokasi tumpuan seperti Bukit Bintang, KLCC dan juga Menara Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN