MUAR – Identiti pemandu kereta Proton Saga yang terjunam sebelum tenggelam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Panchor, Pagoh petang semalam sudah dikenal pasti.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, mangsa yang mati lemas itu dikenal pasti sebagai Muhammad Husni Mahmud, 47.
Katanya, mangsa merupakan seorang sebagai pegawai sumber manusia di sebuah kilang kayu di Batu Pahat, seorang duda selain tidak mempunyai anak.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang saksi juga warga emas berusia 70an yang berada di sebuah kedai berhampiran ketika kejadian berlaku.
“Saksi berkenaan mendakwa melihat kereta itu berhenti di tempat parkir di tepi sungai sebelum mendengar enjin dihidupkan dan kenderaan itu tiba-tiba bergerak ke dalam sungai.
“Dia kemudian cuba membantu dengan memecahkan cermin kereta, namun tidak dapat mengeluarkan mangsa kerana tingkap cermin gelap dan air mula memenuhi bahagian dalam kenderaan,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, hari ini.
Muhammad Aidil berkata, ketika ditemui, mangsa tidak memakai tali pinggang keledar dan berada di tempat duduk pemandu.
Jelasnya, buat masa ini polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan saksi-saksi di lokasi.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dilaporkan terjunam ke sungai ketika air sedang pasang dan deras.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sehingga malam sebelum kenderaan berjaya dikesan oleh unit selam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 10 malam.
“Pasukan penyelam kemudian mengeluarkan kereta terbabit kira-kira pukul 1.01 hari ini dan menemui seorang mangsa di tempat duduk pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya.-KOSMO! ONLINE